Polis Sabah agih bakul makanan kepada 50 keluarga

Polis Sabah agih bakul makanan kepada 50 keluarga

Beaufort: Seramai 50 keluarga dari tiga kampung di daerah ini dan Papar menerima bantuan bakul makanan daripada Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Kehadiran pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada acara pengagihan yang diadakan secara ringkas itu ternyata melegakan kebanyakan penerima.

Untuk rekod, sebanyak 13 bakul makanan diserahkan di Kampung Sinoko dan 12 lagi bantuan diterima penduduk Kampung Bambangan, Membakut, Beaufort.

Manakala 25 lagi bakul makanan pula diagihkan kepada penerima bantuan di Kampung Kuala Dalam, Jalan Pantai Manis, Papar.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner Yusuh Mat Tais berkata, sebanyak 50 bakul makanan itu disampaikan menerusi Op Bantu yang dilaksanakan IPK Sabah.

Katanya, pemberian sumbangan itu diberikan kepada keluarga yang betul-betul memerlukan bantuan segera akibat terkesan dengan penularan pandemic Covid-19 ketika ini.

“Pemilihan keluarga penerima bantuan dijalankan oleh pasukan polis di setiap daerah terbabit dan kita juga bekerjasama dengan pihak pengurusan kampung terutamanya ketua kampung.

“Polis akan meneruskan program ini dari semasa ke semasa kepada pihak yang dikenalpasti berdasarkan maklumat yang diperolehi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di setiap daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan berkenaan mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Yusuh berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, kita akan membuat penilaian dan menyalurkan bantuan seperti mana dikehendaki.

Katanya, pihak polis percaya ramai golongan isi rumah yang terjejas sepanjang pandemik Covid-19 ini.

“Mereka memerlukan bantuan ini untuk meneruskan kehidupan sekeluarga ketika pandemik ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|