PPM rampas petrol, alat solek dan bom ikan

PPM rampas petrol, alat solek dan bom ikan

Semporna: Pemantauan dan penguatkuasaan berterusan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini berjaya mematahkan tiga salah laku yang dikesan di sekitar Pulau Bum Bum, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, kejayaan rampasan pertama dikesan berlaku di kawasan Laut Tanjung Manimpa, di sini, selepas bot ronda PPM terserempak dengan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun katanya, sebaik menyedari kehadiran polis, bot pam berkenaan terus memecut laju sehingga ke kawasan bakau sebelum dua lelaki dilihat terjun dan melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan beberapa bungkusan berisi barang alat kosmetik di dalam ruangan perahu berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan akan dirujuk ke Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad berkata, dalam masa sama, pasukan bot ronda turut mengesan sebuah lagi bot pam di kawasan laut Singamata Pulau Bum Bum, di sini.

Katanya, seorang suspek lelaki yang menyedari kehadiran polis turut memecut bot pam ke kawasan air cetek sebelum lari meninggalkan bot berkenaan.

“Sebaik pemeriksaan dijalankan, anggota PPM menemui beberapa jerikin berisi minyak petrol. Semua minyak petrol berkenaan kemudiannya dirampas bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan bekalan 1961.

“Kes akan turut dirujuk ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, kejayaan ketiga pula berjaya dilakukan sekali lagi di kawasan Laut Tanjung Manimpa Pulau Bum Bum apabila polis berjaya menahan sebuah lagi bot pam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, bot pam berkenaan membawa pelbagai jenis ikan dengan anggaran berat 10 kilogram yang dipercayai ditangkap dengan menggunakan bahan letupan.

“Dua lelaki dewasa berusia 35 tahun dan 45 tahun itu kemudiannya ditahan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Kes kali ini akan diserah kepada Jabatan Perikanan Semporna untuk siasatan lanjut,”’katanya.

Mohamad berkata, semua rampasan dan tangkapan ini adalah kejayaan besar dalam operasi sama yang dilancarkan.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM28,598.

“PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

“Maklumat juga boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|