Covid-19 Sabah: Kes naik semula melebihi 2,000 hari ini

Covid-19 Sabah: Kes naik semula melebihi 2,000 hari ini

Kota Kinabalu: Kes Covid-19 di Sabah hari ini meningkat semula melepasi 2,000 kepada 2,015 kes berbanding 1,784 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peningkatan sebanyak 231 kes itu didorong pertambahan kes di kebanyakan daerah.

“Daerah Papar mencatat peningkatan 77 kes, Kota Marudu bertambah 64 kes, Kinabatangan (+37), Kota Belud (+7) dan Ranau bertambah empat kes.

“Secara keseluruhan, kebanyakan daerah mencatatkan peningkatan. Terdapat 27 kes turut melibatkan orang kena tahan (OKT) atau banduan yang dicatat hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya beberapa daerah turut mencatat penurunan termasuk di Kota Kinabalu yang menurun 18 kes kepada 310 kes hari ini.

Beliau berkata, daerah Sandakan merekodkan penurunan sebanyak 15 kes, Tuaran (-27), Tawau (-16), Beaufort (-12), Semporna (-5), Tambunan (-3) dan Telupid (-3).

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata daripada 2,015 kes yang didaftar hari ini, sebanyak 687 kes atau 34.09 peratus lewat didaftar antara dua hingga tiga hari.

Selain itu, katanya sebanyak 208 kes atau 10.32 peratus pula lewat didaftar empat hingga lina hari dan 145 kes atau 7.2 peratus lagi lewat didaftar melebihi lima hari.

“Saringan kontak rapat kekal sebagai penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 1,118 kes atau 55.48 peratus, diikuti 632 kes (31.36 peratus) melalui saringan bergejala dan sebanyak 81 kes melalui saringan kluster, manakala sebanyak 184 kes lagi dikesan melalui saringan lain,” katanya.

Sementara itu, katanya daripada 2,015 kes hari ini, sebanyak 665 kes atau 33 peratus adalah pesakit dalam Kategori 1, manakala 1,220 kes atau 60.55 peratus dalam Kategori 2.

Beliau berkata, sebanyak lima kes berasa dalam Kategori 3, sembilan kes dalam Kategori 4 dan sembikan kes lagi dalam Kategori 5, manakala sebanyak 107 kes masih dalam siasatan.

Satu kluster baharu Covid-19 turut dilaporkan hari ini iaitu Kluster Sungai Bendera di Kinabatangan yang mencatat sebanyak 72 kes.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|