PM tiba di Sandakan untuk lawatan kerja ke daerah ini dan Kinabatangan

PM tiba di Sandakan untuk lawatan kerja ke daerah ini dan Kinabatangan

Sandakan: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Lapangan Terbang Sandakan sebentar tadi untuk lawatan kerja ke daerah Sandakan dan Kinabatangan bermula malam ini hingga petang esok.

Beliau yang tiba dengan pesawat khas pada jam 7.35 malam tadi disambut Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Ia adalah lawatan pertama Ismail Sabri ke Sandakan dan Kinabatangan serta yang kedua ke Sabah selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos lalu.

Pagi esok beliau dijangka melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo bagi pakej pantai timur Sabah di Dataran Tapak Tamu pekan Kota Kinabatangan.

Projek Lebuhraya Pan Borneo yang bakal dilancarkan Perdana Menteri esok membabitkan empat pakej kerja bagi laluan Kinabatangan-Sandakan-Beluran-Telupid.

Dalam satu kenyataan media semalam, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata kontraktor bagi empat pakej kerja berkenaan baru saja dilantik.

Katanya, keempat-empat pakej kerja itu akan dilaksanakan serentak sejurus pelancarannya oleh Perdana Menteri dan dijangka siap pada 2024.

“Empat pakej itu adalah antara pakej baharu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Satu lagi pakej baharu ialah laluan di antara Serusop, Tuaran ke Pituru, Kota Belud yang dijangka dimulakan tahun depan menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Pelaksanaan lima pakej baharu itu menjadikan 16 pakej kerja dilaksanakan setakat ini daripada 35 pakej keseluruhan dalam Fasa Satu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|