PM ikrar bangunkan Sabah, buang status miskin

PM ikrar bangunkan Sabah, buang status miskin

Sandakan: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berikrar akan terus membangunkan Sabah dan berusaha mengeluarkan negeri ini daripada status negeri miskin.

Beliau berkata, ia antara fokus beliau selaku Perdana Menteri, malah perkara itu sudah dilakukannya sejak memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebelum ini.

“Waktu saya Menteri Luar Bandarpun saya tumpukan Sabah, waktu saya jadi Perdana Menteri pasti saya akan menumpukan lagi Sabah.

“Insya’Allah, kita pastikan kita akan keluarkan Sabah daripada kemiskinan, negeri yang disebut salah satu negeri miskin di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Pimpinan Masyarakat Daerah Sandakan bersama Perdana Menteri, di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ismail Sabri tiba di Lapangan Terbang Sandakan pada jam 7.35 malam ini untuk lawatan kerja ke daerah ini dan Kinabatangan hingga petang esok.

Beliau berkata, kerajaan Pusat juga akan memastikan pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah berjalan dengan lancar.

Katanya ia termasuk menimbangkan penyaluran peruntukan untuk projek itu melalui inisiatif kewangan swasta (PFI).

“Kita juga memberi fokus sekarang ini untuk membangunkan Pan Borneo. Tadi saya baru dapatkan maklumat daripada Menteri Kewangan, kita tidak akan berhenti di situ sahaja.

“Pastinya kita akan sambung projek Pan Borneo ini sampai selesai. Kalau tiada bajet seperti Bung cakapkan, secara PFI pun kita akan laksanakan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, perkara itu dicadangkan sendiri Bung Moktar dan pihaknya akan mencari kaedah untuk melaksanakannya.

Berdasarkan kaedah ketika ini, peruntukan projek Lebuhraya Pan Borneo disalurkan sepenuhnya oleh kerajaan sejak dimulakan pembinaannya pada 2016.

Peruntukan projek itu disediakan melalui belanjawan setiap tahun dan ia dilihat mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya jika terus bergantung kepada dana tahunan.

Berikutan itu Bung Moktar mencadangkan kaedah PFI digunakan bagi pembinaan projek mega berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|