Individu gagal jaga jarak paling ramai dikompaun – Masidi

Individu gagal jaga jarak paling ramai dikompaun – Masidi

Kota Kinabalu: Pengabaian prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penjarakan fizikal menjadi kesalahan tertinggi dilakukan orang ramai di Sabah dengan seramai 38 individu dikompaun hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata secara keseluruhan sebanyak 54 kompaun atas pelbagai kesalahan melanggar SOP dikeluarkan pihak berkuasa di Sabah hari ini.

“Seramai empat individu lagi dikompaun kerana gagal mendaftar masuk premis, dua pemilik premis dikompaun kerana gagal mematuhi waktu operasi, seorang pemilik premis dikompaun kerana gagal melaksanakan penjarakan fizikal, manakala sembilan lagi kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi mengingatkan, kelonggaran yang diberikan kerajaan melalui pelaksanaan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini dan Fasa 4 PPN yang bermula Isnin depan bukan bermakna pematuhan SOP boleh diabaikan.

Katanya, pematuhan SOP penting bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, khususnya yang dikaitkan dengan kes sporadik atau kes positif yang dikesan melalui saringan bergejala.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah berkata, negeri ini baru mencapai 74.79 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19, manakala 76.09 peratus menerima satu dos suntikan setakat semalam.

Beliau berkata, secara keseluruhan kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima satu dos vaksin setakat semalam ialah seramai 2,428,936 orang dengan 2,098,987 orang daripadanya adalah penduduk dewasa atau 76.09 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di negeri ini.

“Seramai 2,350,852 individu pula sudah lengkap vaksin setakat 4 November dengan 2,063,067 atau 74.79 peratus daripadanya adalah penduduk dewasa.

“Seramai 329,949 orang atau 76.03 peratus penduduk remaja pula menerima satu dos vaksin setakat semalam, manakala remaja yang sudah lengkap dos vaksin adalah seramai 287,785 atau 66.31 peratus setakat ini,” katanya.

Katanya statistik pemberian vaksin yang dilaksanakan di Sabah semalam menunjukkan seramai 11,816 diberikan suntikan, masing-masing 8,069 orang penduduk dewasa, manakala 3,747 orang remaja.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|