PKPD Kampung Likas diperkasa

PKPD Kampung Likas diperkasa

KOTA KINABALU: Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Kem Lok Kawi, terbabit dalam penguatkuasaan dan pemasangan concertina wire di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Likas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Markas Divisyen Kelima itu, pasukan berkenaan diketuai Lt M Datu Mohd Rais Aslam Datu Jamigul bersama 19 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen 507 Askar Wataniah (Rej 507 AW).

Katanya, ia terbabit secara langsung dalam operasi Op Penawar berkenaan selaras dengan pengumuman PKPD di lokasi penempatan berkenaan bermula, hari ini.

“Ia berikutan berlakunya pertambahan kes jangkitan dan penyebaran COVID- 19 di kawasan berkenaan.

“5 Div melalui atur gerak Formasi lima Briged bertanggungjawab dalam membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaksanakan kawalan dan pemantauan ke atas kawasan berlakunya gelombang jangkitan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, atur gerak ini bertepatan dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat dengan Awam.

“Kerjasama yang dijalinkan bersama agensi awam dan Kerajaan Negeri Sabah ini mampu meningkatkan tahap kebolehupayaan dan kepatuhan masyarakat dalam bekerjasama bersama petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19 ini.

“Semua petugas juga mematuhi panduan amalan klinikal dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan semasa bekerja bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dan penambahan kluster aktif yang baharu,” katanya.

Kenyataan itu turut menyatakan, pemantauan berkala oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Rej 507 AW itu akan berterusan sehingga 23 Jun depan.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|