Phillip Among tenang berdepan lima pertuduhan

Phillip Among tenang berdepan lima pertuduhan

KOTA KINABALU: Bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Phillip Among tenang ketika diiringi polis keluar daripada Mahkamah Majistret selepas didakwa dengan lima pertuduhan, hari ini.

Ahli politik berkenaan dituduh dengan kesalahan jenayah gangguan seksual terhadap dua wanita termasuk seorang peserta Unduk Ngadau pada Pesta Kaamatan, baru-baru ini.

Lelaki berusia 52 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Beliau berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Mohd Ali manakala Philip diwakili dua peguam Marcel Jude dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Philip ditahan polis pada 3 Jun lalu bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|