PGA gempur premis jual arak, rokok seludup di sebalik perniagaan lain

PGA gempur premis jual arak, rokok seludup di sebalik perniagaan lain

Kota Kinabalu: Taktik berselindung disebalik premis menjual daging khinzir gagal memperdayakan pihak berkuasa apabila pelbagai rokok dan minuman keras tidak bercukai berjaya dirampas.

Semua barangan berkenaan dirampas dalam serbuan di Kampung Gambaron 1, Jalan Telupid-Sandakan, Beluran, kira-kira jam 2 petang, semalam.

Operasi yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Tiger Platon Batalion 15 itu berjaya merampas ratusan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM84,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan berdasarkan kepada maklumat awam berhubung penjualan barangan berkenaan.

Katanya, hasil serbuan pasukan operasi berjaya menemui beberapa karton rokok dan menahan seorang lelaki warga asing berusia 24 tahun yang dipercayai penjaga premis berkenaan.

“Hasil soal siasat dijalankan, pasukan operasi yang dipandu arah suspek ke sebuah stor dan rumah dua tingkat di kawasan berhampiran berjaya menemui ratusan rokok dan minuman keras.

“Antara jenama rokok yang dirampas adalah Era, Astro, Harmoni, Samson, Auspice, Gudang Garam, Gudang Gandum dan beberapa lagi jenama lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, pasukan operasi turut merampas minuman keras jenama GM Gold Craf dan Chivas Regal yang disyaki dibawa masuk tanpa cukai.

Katanya, suspek bersama semua barang rampasan kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1957,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|