PETRONAS bina kemudahan LNG pertama Sabah di SOGIP

PETRONAS bina kemudahan LNG pertama Sabah di SOGIP

KOTA KINABALU: Kabinet negeri hari ini mengesahkan pembinaan loji gas asli cecair (LNG) pesisir pantai yang pertama dan terbesar di Sabah oleh PETRONAS di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) di Sipitang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek LNG itu yang tertakluk kepada keputusan pelaburan akhir (FID) pada 2022 adalah langkah yang betul ketika kerajaan terus mengusahakan lebih banyak peluang untuk mendapatkan hasil tambahan melalui penyertaan ekuiti untuk Sabah.

“Projek LNG pesisir pantai adalah hasil kajian bersama di antara kerajaan negeri dan PETRONAS untuk mengenal pasti pilihan penerokaan gas yang optimum dalam usaha memaksimumkan jangka panjang ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji turut memberi jaminan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan melihat lebih banyak pilihan untuk memastikan rakyat Sabah meraih faedah daripada sektor minyak dan gas negeri ini.

Loji baharu LNG itu dijangka meningkatkan jumlah pengeluaran LNG daripada 2.7 juta tan metrik setahun (MTPA) kepada 4.7 MTPA, iaitu menambah 2 MTPA lagi kapasiti pengeluaran LNG.

Apabila beroperasi, loji LNG itu akan mengukuhkan lagi ekosistem bakat tempatan dan syarikat yang mempunyai kemahiran khusus untuk menjalankan operasi dan perkhidmatan sokongan.

Loji LNG pesisir pantai yang akan dibangunkan di SOGIP itu akan mendapat bekalan gas mentah dari lapangan gas Sabah melalui Saluran Paip Gas Sabah Sarawak (SSGP) yang sedia ada.

Loji itu akan disambungkan berhampiran sambungan jeti baharu Petronas Chemicals Fertilizer Sabah dan disokong oleh utiliti dan kemudahan yang terpilih dari daratan.

Dengan keupayaannya yang boleh dipindahkan, loji LNG pesisir pantai mampu menyediakan penggunaan aset secara berterusan dan mengoptimumkan pelaburan.

Aktiviti Front End Engineering Design (FEED) untuk projek ini akan bermula pada akhir Oktober 2021 dan tertakluk kepada keputusan pelaburan akhir (FID), loji LNG pesisir pantai itu dirancang akan siap untuk bermula (Ready for Start-Up) pada akhir 2026.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|