Perbadanan Labuan bantu promosi UMSKAL sebagai IPT bertaraf antarabangsa

Perbadanan Labuan bantu promosi UMSKAL sebagai IPT bertaraf antarabangsa

Labuan: Perbadanan Labuan menggalakkan institusi pendidikan tinggi (IPT) bertapak di pulau bebas cukai ini sebagai antara tarikan ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien, berkata pihaknya juga sentiasa memberi galakan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di pulau ini termasuk dari luar negara.

Justeru itu, beliau berkata, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Perbadanan Labuan akan membantu mempromosikan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menjadi IPT bertaraf antarabangsa.

“Perbadanan Labuan akan mempromosikan UMSKAL menjadi salah satu pusat pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa dengan melihat peluang membawa masuk pelajar dari China, Timur Tengah dan negara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perbincangan dengan Pemangku Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Mohd Rizal Abdul Hamid di Bilik Mesyuarat Kiamsam, Bangunan Menara UMSKAL, di sini, semalam.

Turut menghadiri perbincangan itu ialah Pengerusi Globalfront International Sdn Bhd, Datuk Low Kok Thai; Naib Presiden Dewan Perniagaan Liu Sedunia Malaysia, Datuk Seri Simon Liew dan Timbalan Pengarah International Relationship, VISA and Promotion, UPSI, Prof Madya Dr Mohammed YM Mai.

Hadir sama ialah Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah dan Pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Amir berkata, pihaknya berharap harapan besar itu akan menjadi kenyataan bagi memastikan ekonomi Labuan kembali pulih dan berkembang lebih pesat dengan kehadiran pelajar dan pensyarah dari luar negara.

Sementara itu, Dr Mohd Rizal mengalu-alukan sokongan, komitmen dan kerjasama daripada jabatan dan agensi kerajaan serta pihak industri untuk merealisasikan harapan membawa masuk lebih ramai pelajar antarabangsa ke UMSKAL pada masa hadapan.

“UMSKAL yakin kehadiran pelajar dari dalam dan luar negara ke UMSKAL akan turut membantu menjana ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan.

“Malah industri pelancongan juga akan berkembang menerusi kehadiran pelajar dan pensyarah tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Jelas beliau, menerusi kehadiran pelajar luar negara akan membantu mempromosikan produk makanan dan budaya tempatan sekali gus memperkenalkan lagi Labuan di mata dunia.

Pada ketika ini, UMSKAL mempunyai 1,908 pelajar yang melanjutkan pengajian di FKAL dan FKI.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|