Peter, Juil umum keluar WARISAN, tubuh parti baharu

Peter, Juil umum keluar WARISAN, tubuh parti baharu

Kota Kinabalu: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony hari ini mengumumkan keluar parti dan menubuhkan parti baharu mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada awal Januari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, keputusan berkenaan dibuat bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim bagi membentuk parti yang memberi fokus kepada masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) terutamanya di kawasan pedalaman Sabah.

Peter berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira tindakan WARISAN yang melebarkan sayap ke Semenanjung baru-baru ini yang dilihat bertentangan dengan kehendak rakyat Sabah mahukan parti tempatan memberi tumpuan kepada rakyat negeri ini.

“Kita akan membentuk satu gabungan bersama-sama dengan kepimpinan kerajaan Pusat dan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Ini adalah jalan terbaik bagi kita bersama-sama membendung atau menyelesaikan segala masalah yang dihadapi khususnya di Sabah ini,” katanya pada sidang media khas di perkarangan Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, tengah hari tadi.

Peter berkata, beliau bersama rakan seperjuangannya yang lain memutuskan untuk menubuhkan parti tempatan berasaskan pelbagai kaum yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ketika ditanya siapa yang turut menyertai parti baharu itu, beliau berkata, ia akan diketahui pada perasmian parti baharu itu nanti.

“Kita akan tahu bila saja saya umumkan nanti selepas pendaftaran, mana tahu ada yang jatuh hati dengan parti baharu ini,” katanya.

Terdahulu, ratusan penyokong terdiri daripada masyarakat KDM hadir menyambut beliau yang tiba di KKIA sebagai tanda sokongan terhadap keputusannya.

Sementara itu, seorang penyokong dikenali sebagai Jack Jatil, 50, yang hadir di KKIA sejak jam 11.30 pagi berkata, kehadirannya bersama beberapa rakan dari Tenom adalah bagi memberi sokongan kepada pemimpin mereka.

“Terdapat juga beberapa rakan dari Kudat dan beberapa daerah lain yang turut hadir menyambut ketibaan Datuk Peter.

“Kami datang untuk menyokong beliau selepas kami mengetahui dia akan keluar WARISAN,” katanya.

-deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|