Kes mahkamah bukan penyebab keluar WARISAN – Peter Anthony

Kes mahkamah bukan penyebab keluar WARISAN – Peter Anthony

Kota Kinabalu: “Keputusan untuk menubuhkan parti baharu dan keluar WARISAN bukan kerana disebabkan kes mahkamah membabitkan pemalsuan dokumen,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony.

Menurutnya, kes berkenaan masih di peringkat mahkamah dan beliau percaya ia akan dapat membuktikan dirinya dan keluarga tidak pernah membuat kesalahan.

“Saya dan keluarga tidak pernah membuat kesalahan dan tidak pernah membuat pemalsuan dalam dokumen seperti yang didakwa,” katanya pada sidang media khas di perkarangan Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, tengah hari tadi.

Pemimpin berumur 50 tahun itu kini berdepan kes pemalsuan dokumen mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan diperintah membela diri pada 3 hingga 7 Januari ini.

Sebaliknya, bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu berkata, antara sebab beliau membuat keputusan keluar parti kerana percaya perjuangan WARISAN kini tersasar daripada landasan awal.

“Rata-rata pengundi dan orang Sabah ini mahukan parti tempatan yang betul-betul mempertahankan rakyat dan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Peter berkata, beliau bersedia untuk mengosongkan dan bertanding semula di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap sekiranya diputuskan oleh mahkamah.

“Apa juga tindakan atau keputusan perundangan mahkamah selepas ini yang memutuskan untuk saya mengosongkan kerusi DUN Melalap dan bertanding semula, saya akan bertanding semula atas parti saya sendiri.

“Sekiranya mahkamah menyatakan ada kos yang perlu dibayar kepada WARISAN, kita akan akur. Itu sudah menjadi peraturan tetapi untuk mengekang saya menubuhkan parti baharu, itu bukan halangan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada tindakannya itu mendapat ‘restu’ daripada Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Peter berkata, dia sepatutnya tiada masalah berhubung perkara berkenaan.

“Saya percaya beliau juga mempunyai perancangan tersendiri dari segi karier atau kelangsungan politik beliau dan di peringkat kita, juga mempunyai pandangan tersendiri memartabatkan orang-orang Sabah terutama KDM ini masih memerlukan bantuan kita,” katanya.

Peter sebelum ini adalah Naib Presiden WARISAN yang bersama-sama Mohd Shafie menubuhkan parti pada 2016 sebagai landasan baharu politik selepas Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dipecat daripada UMNO.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|