Kota Kinabalu: Pesta Magahau sememangnya berpotensi untuk diangkat sebagai salah satu produk pelancongan dan kebudayaan negeri Sabah yang utama.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kisah sejarah sambutan Magahau sudah pasti mampu menarik perhatian pelancong.
Katanya, pergerakan tarian sambutan ini juga bersifat interaktif dan pastinya mampu membuatkan ramai menari bersama.
“Ini terbukti dengan kejayaan Persatuan Sabah Momogun Rungus Association (SAMORA) membuat persembahan tarian tradisi etnik Rungus iaitu Mongigol Sumundai yang pernah memukau penonton di ITB Berlin, Jerman.
“Ini juga menjadikan Sabah sebagai salah satu destinasi pelancongan yang digemari pelancong, baik domestik mahupun antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Magahau 2021 di SICC, malam tadi.
Jafry berkata, beliau berharap usaha SAMORA akan diteruskan secara konsisten supaya budaya ini tidak pupus ditelan zaman.
Katanya, budaya ini boleh diwariskan kepada generasi muda supaya mereka dapat membina jati diri demi kelangsungan adat dan tradisi etnik Rungus.
“Pesta seumpama ini juga adalah platform yang terbaik bagi pihak kerajaan untuk mencipta kesan limpahan ekonomi secara langsung kepada masyarakat tempatan.
“Inilah masanya untuk kita memperkenalkan produk-produk etnik Rungus seperti kraftangan, pakaian tradisi, produk makanan, hasil tani dan sebagainya” katanya.
Sementara itu, Presiden SAMORA, Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, Pesta Magahau kian mengharungi dan meniti kemajuan yang banyak mengangkat martabat kaum Rungus.
Katanya, ia khusus dengan pengiktirafan Bangsa Rungus sebagai etnik penuh pada tahun 2015 kerana tanpa Magahau kaum Rungus berkemungkinan besar masih dalam posisi lama dari segi pendedahan ke dunia luar.
“Sebab sebelum ini kaum Rungus hanya menumpang atau berkongsi pesta kaum yang lain, padahal kaum Rungus kaya dari segi kebudayaan dan warisan tinggalan nenek moyong mereka.
“Pesta Magahau ini diraihkan dengan dua tujuan utama iaitu, pada hari pertama yang dikenali sebagai ‘Papak Taraat’ iaitu bagi memperingati orang yang mendahului ke alam mati.
“Pada hari yang kedua yang dipanggil ‘Papak Tavai’, adalah kaum ini merasakan kenikmatan, aman dan damai sejahtera dalam kehidupan mereka kerana hasil usaha tanaman, binatang ternakan dan harta benda mereka kian bertambah,” katanya.
Menurutnya, SAMORA akan berusaha dan terus mengatur langkah di masa hadapan dengan berpaksikan cita- cita akan mengadakan sambutan Pesta Magahau di luar negara.
Katanya, ia bagi tujuan memperkasakan lagi pesta ini serta memartabat dan memasyurkan lagi bangsa Rungus di mata masyarakat dunia.
-Deasoka