Jambatan kekal atasi laluan runtuh di KM117.1 Jalan Kota Kinabalu – Keningau

Jambatan kekal atasi laluan runtuh di KM117.1 Jalan Kota Kinabalu – Keningau

Keningau: Sebuah jambatan kekal akan dibina di Kilometer (KM) 117.1, Jalan Kota Kinabalu – Keningau, dekat Kampung Liau, di sini, berikutan laluan runtuh akibat arus deras ketika hujan lebat yang menyebabkan jalan raya terputus awal bulan lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata jambatan kekal itu dijangka dimulakan pembinaannya dalam masa tiga bulan selepas jumlah kos dan spesifikasinya dimukatamadkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup (tengah) ketika meninjau lokasi laluan runtuh di KM117.1 Jalan Kota Kinabalu – Keningau. Pix ihsan Kementerian Kerja Raya.

“Kementerian Kerja Raya persekutuan melalui kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sudah melaksanakan kajian dan penilaian teknikal sebelum mempertimbangkan kaedah penyelesaian terbaik yang perlu dilaksanakan bagi jangka masa panjang.

“Sehubungan itu, kerajaan memutuskan untuk membina jambatan kekal merentasi sungai di laluan berkenaan yang dijangka bermula dalam masa tiga bulan.

Jambatan Bailey sementara mengatasi jalan runtuh di laluan KM117.1 Jalan Kota Kinabalu – Keningau. Pix ihsan Kementerian Kerja Raya.

“Spesifikasi, kos dan rekabentuk jambatan kekal akan dimuktamadkan berdasarkan kaedah yang paling cepat dengan kos yang paling munasabah bagi menyelesaikan masalah ini untuk keselesaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan selepas meninjau laluan berkenaan, petang semalam.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Uzir Wan Sulaiman dan Pengarah JKR Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid.

Arthur berkata, pembinaan jambatan kekal itu yang dianggarkan mengambil masa selama 18 bulan akan membolehkan aliran trafik lebih lancar dan mampu menampung kenderaan dengan had berat muatan tinggi sehingga 60 tan.

Ketika ini, sebuah jambatan Bailey dipasang sementara untuk membolehkan kenderaan, kecuali kenderaan berat melebihi lapan tan melalui laluan berkenaan.

Bagi kenderaan berat, pemandu perlu menggunakan laluan alternatif Jalan Trans Pagalan – Keningau atau Jalan Magatang – Ranggom – Kapayan – Keningau.

Jambatan sementara itu bagi menggantikan penggunaan pembetung yang dihanyutkan arus deras ketika hujan lebat awal bulan lalu menyebabkan laluan berkenaan terputus sepanjang kira-kira 30 meter.

Kemudahan itu disiapkan JKR Sabah dan syarikat konsesi Lintasan Resources Sdn Bhd, baru-baru ini bagi menghubungkan semula laluan berstatus jalan persekutuan berkenaan.

Disebabkan laluan yang terputus sebelum ini, penduduk setempat dan pengguna jalan raya dari arah Kota Kinabalu atau Keningau terpaksa menggunakan jalan alternatif yang jauh berikutan tiada jalan alternatif lain yang berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|