Perutusan Aidiladha: Ambil iktibar pengorbanan Nabi: Hajiji

Perutusan Aidiladha: Ambil iktibar pengorbanan Nabi: Hajiji

Kota Kinabalu: Umat Islam di negeri ini perlu menghayati dan mengambil iktibar sejarah serta kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan puteranya nabi Ismail, dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Hari Raya Aidiladha adalah hari kebesaran Islam yang disambut di seluruh dunia dengan penuh keinsafan dan pengertian besar.

Katanya, ini adalah tahun kedua umat Islam menyambutnya ketika penularan pandemik COVID-19, dan Aidiladha perlu dijadikan iktibar serta panduan dalam menghadapi cabaran.

“Aidiladha mengingatkan kita erti kesabaran. Dalam keadaan dan cabaran yang dihadapi, situasi sebegini sebenarnya menuntut kita supaya sentiasa bersabar, bersyukur, bermuhasabah diri dan berlapang dada menempuh cabaran bersama.

“Ia pengorbanan besar setiap individu, selaras dengan tuntutan dan ajaran Islam. Raikanlah Aidiladha ini bersama keluarga di rumah masing- masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidiladha 1442/2021, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, umat Islam yang membuat ibadah korban sempena Aidiladha ini juga diminta melaksanakannya dengan penuh penghayatan di samping mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, pada majlis penyerahan lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di perkarangan Masjid Haji Noor di Kampung Serusup, Hajiji turut menyampaikan 108 ekor lembu korban sempena Aidiladha.

Sumbangan berkenaan diserahkan kepada 50 wakil masjid dan surau di sekitar Tuaran.

Selain itu, sumbangan lembu korban turut disampaikan kepada pasukan keselamatan membabitkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Antara wakil yang hadir, Panglima 5 Divisyen, Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Kem Lok Kawi, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid, Ketua Jabatan Pengurusan PDRM Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Zabidi Mohd Zain dan Timbalan Panglima Armada Timur, Markas Pemerintah Armada Timur Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Shazalie Shuib.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|