Permintaan melebihi pengeluaran punca gangguan bekalan air di Sepanggar

Permintaan melebihi pengeluaran punca gangguan bekalan air di Sepanggar

Kota Kinabalu: Permintaan pengguna yang melebihi pengeluaran dikenal pasti sebagai punca utama gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk di kawasan utara Kota Kinabalu, khususnya di sekitar Sepanggar, ketika ini.

Setiausaha Perhubungan Awam Timbalan Ketua Menteri I, Alfian Sambas, berkata permintaan pengguna di kawasan itu melebihi 30 peratus daripada kapasiti pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Telibong, Tuaran.

Katanya, ketika ini LRA Telibong 1 dan LRA Telibong 2, Tuaran yang membekalkan air di Sepanggar hanya mampu mengeluarkan 164 juta liter sehari (JLH), masih kekurangan 49 JLH atau 30 peratus daripada permintaan pengguna.

“Walaupun pengeluaran air semasa di LRA Telibong 1 dan Telibong Dua 2 sudah melebihi reka bentuk kapasiti asal iaitu 144 JLH kepada 164 JLH tetapi pengeluaran air masih tidak dapat menampung permintaan penguna sejak 2015.

“Keadaan ini memberi kesan yang besar kepada pengguna di kawasan utara Kota Kinabalu memandangkan pengeluaran dari LRA terbabit tidak dapat menampung permintaan semasa.

“Sebagai penyelesaian, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) terpaksa melaksanakan catuan bekalan dan penghantaran air ke kawasan yang terjejas teruk,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Alfian berkata, JANS menyediakan dua lori tangki air berkapasiti 13,000 liter dan khidmat lori tangki swasta dengan keupayaan menghantar sehingga 5.3 juta liter air.

Katanya, lori berkenaan mengagihkan bekalan air kepada pengguna di kawasan kritikal seperti klinik, sekolah, dan tangki statik yang disediakan pihak pengurusan taman perumahan.

Beliau berkata, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin memandang serius perkara itu dan pelbagai langkah jangka panjang serta pandek sudah dibincang bagi isu berkenaan.

“Selain itu, JANS turut melaksanakan beberapa tindakan penyelesaian jangka pendek bagi memastikan bekalan air di beberapa kawasan di utara Kota Kinabalu sentiasa mencukupi.

“Antaranya ialah cadangan pelaksanaan Skim Bekalan Air Kecemasan (UWSS) di LRA Telibong 1 oleh JETAMA Sdn Bhd yang dapat mengeluarkan sebanyak lima JLH. Kontraktor pelaksana sudah dilantik dan ia dijangka siap pada September 2022,” katanya.

Selain itu, katanya JANS turut mencadangkan pelaksanaan UWSS di LRA Telibong 2 dengan keupayaan mengeluarkan sebanyak 10 JLH yang dijangka dapat dilaksanakan pada September 2022.

Pada masa yang sama, katanya JANS sedang menyelaraskan permohonan pihak swasta yang berpotensi dan berpengalaman dalam pengeluaran air terawat untuk menambah bekalan air sedia ada.

Jelasnya, masalah air di kawasan Sepanggar dan sekitarnya dijangka dapat diatasi sepenuhnya apabila projek LRA Telibong Fasa 2 yang masih dalam pembinaan siap dan dijangka mula beroperasi pada 2023.

Dalam pada itu, Alfian berkata, masalah kekurangan bekalan air di Sepanggar juga diburukkan oleh aktiviti penyambungan haram yang berleluasa di beberapa kawasan setinggan.

Katanya, antara kawasan yang dikesan sering melakukan sambungan haram ialah Kampung Tebobon Baru, Delima, Brunei, Sepakat Baru, Suang Parai, Pulau Penampang, Lokub, Gentisan dan Numbak dengan anggaran kehilangan air sebanyak enam JLH.

“Justeru itu, JANS turut melaksanakan aktiviti membanteras penyambungan haram dan kecurian air secara bersepadu bersama agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Tanah Ukur (JTU), polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Sukrelawan Malaysia (RELA), selain pemimpin setempat,” katanya.

Sementara itu, Alfian berkata, hujan lebat di beberapa kawasan di pantai barat Sabah minggu lalu turut menjejaskan agihan bekalan air di kawasan liputan LRA Telibong 1 dan LRA Telibong 2 memandangkan air dari Sungai Tuaran tidak dapat diproses kerana terlalu keruh.

Antara kawasan yang berdepan masalah air di Sepanggar ialah Universiti Utama Condominium (UUC), Universiti Condominium Apartment 2 (UCA2), Biz Hub dan Grand Merdeka Mall di Bandar Sierra, Putera Perdana Telipok, Putera Jaya, Tobobon Bukit dan Kampung Rakyat Baru Tobobon.

Turut berdepan masalah sama ialah Kampung Kaliangau, Manggatal); Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal, Kampung Dato, Muhibbah, Taman Wangsa Maju, Taman Putera Mas, Bakti Iklas dan perumahan Bukit Sepanggar serta Indah Permai.

Gangguan bekalan air turut dilaporkan dialami penduduk Kampung Malawa, Taman Malawa Jaya, Perumahan Jaya Diri, Perumahan Bukit Setia, Perumahan Seri Gayang dan sebahagian Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Selatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|