Kota Kinabalu: “Jenis kecemasan, lokasi dan maklumat pemanggil. Itu adalah tiga perkara paling penting untuk diberikan kepada operator MERS999 bagi memastikan bantuan kecemasan dapat dihantar ke lokasi secepat mungkin,”
Demikian tegas Ketua Latihan Sistem (MOT) MERS999 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Agustavia Joe Guasi ketika diminta mengulas berhubung Prosedur Operasi Standard MERS 999 dalam kejadian kebakaran yang meragut nyawa empat sekeluarga di Taman Hungab, Penampang, Selasa lalu.
Menurutnya, talian kecemasan MERS999 adalah inisiatif kerajaan untuk menyatukan nombor-nombor kecemasan di negari ini sebagai nombor pusat untuk capaian mudah.
Katanya, talian ini boleh menghubungkan pelbagai agensi keselamatan termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), perkhidmatan perubatan (Hospital), perkhidmatan kemanusiaan (Pertahanan Awam) dan kecemasan di laut (Maritim Malaysia).
“Sistem ini bergerak di dalam satu platfrom bersama untuk mengendalikan panggilan kecemasan secara seragam.
“Berbekalkan maklumat yang diterima, operator talian akan dapat menyalurkan kepada agensi berkaitan sedara tepat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Agustavia berkata, sebagai contoh, apabila berlaku situasi kecemasan seperti rompakan, maklumat berkenaan terus disalurkan kepada pihak polis.
“Begitu juga dengan kebakaran, banjir atau kemalangan di mana maklumat terus disalurkan kepada pasukan bomba.
“Oleh itu, pemanggil harus memberikan maklumat tepat mengenai lokasi kecemasan termasuk sebarang mercu tanda di kawasan berhampiran bagi memudahkan lokasi dikesan.
“Pemanggil juga perlu memberikan nama dan telefon bagi memudahkan balai yang melakukan respon menghubunginya bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Agustavia berkata, sebaik pemanggil melaporkan ketiga-tiga infomasi awal itu, maklumat secara selari sudah disalurkan kepada agensi berkaitan dalam masa yang sama.
Malah katanya, pihak agensi berkenaan sudah mengerahkan pasukannya untuk ke lokasi kejadian pada masa yang sama.
“Apa juga maklumat yang anda berikan sangat membantu pihak bomba atau agensi kecemasan lain untuk menghantar bantuan mengikut kesesuaian dan pantas.
“Pemanggil perlu terangkan situasi kecemasan dengan jelas dan menjawab segala soalan yang ditanya kerana maklumat itu penting untuk menentukan badan kecemasan yang perlu memberi tindak balas.
“Sekiranya pemanggil berada dalam keadaan tidak tenteram atau cemas, tenangkan diri kerana ia akan menyurkarkan operator untuk mendapatkan maklumat penting. Selain itu, tunggu di talian dan jangan putuskan talian,” tegasnya.
Agustavia berkata, pemanggil perlu memberikan nama dan alamat serta memaklumkan kepada operator sekiranya tempat kejadian berbeza dengan alamat pemanggil.
“Begitu juga dengan kecemasan membabitkan perubatan, pemanggil perlu bersabar ketika memberikan maklumat kepada operator supaya situasi kecemasan dapat dikenalpasti.
“Dalam keadaan itu, pemanggil akan diberikan tunjuk ajar mengenai cara-cara awal mengendali pesakit ketika bantuan sedang dalam perjalanan,” katanya.
-Deasoka