Covid-19 Sabah: Sandakan catat kematian tertinggi

Covid-19 Sabah: Sandakan catat kematian tertinggi

Kota Kinabalu: Daerah Sandakan mencatat 21 kes kematian daripda 54 jumlah kematian keseluruhan akibat Covid-19 yang direkodkan di Sabah, semalam.

Ia menjadikan daerah itu mencatat kes kematian tertinggi akibat Covid-19, semalam, diikuti daerah Tawau sebanyak 14 kes.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sebanyak enam kes kematian lagi dilaporkan di Lahad Datu.

“Selebihnya, sebanyak tiga kes kematian di Kota Kinabalu, masing-masing dua kes di Keningau dan Papar, manakala masing-masing satu kes kematian di Semporna, Sipitang, Ranau, Kinabatangan, Penampang dan Kunak,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Kes kematian akibat Covid-19 di Sabah semalam menunjukkan peningkatan sembilan kes berbanding 45 kes kelmarin dan yang tertinggi selepas 55 kes kematian yang dilaporkan pada 4 September lalu.

Sementara itu, Masidi berkata seramai 5,668 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh di Sabah semalam, manakala seramai 4,983 pesakit sedang menerima rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah seramai 195 orang, merangkumi 126 orang di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ‘repurposed kritikal care’ serta 69 di wad terbukaku dengan seramai 89 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat sebanyak 2,067 kes, semalam, menurun sedikit berbanding 2,107 kes, kelmarin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|