Perlindungan PERKESO perlu diambil perhatian serius

Perlindungan PERKESO perlu diambil perhatian serius

Kota Kinabalu: Keselamatan dan kebajikan sosial pekerja perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak dalam memastikan semua pihak mendapat perlindungan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, semua pihak perlu bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan perlindungan pekerjaan dapat dilaksanakan.

Katanya, ini termasuk mereka yang sudah dikenalpasti berkerja sendiri dan berdagang secara atas talian.

“Dalam kita mengharungi pandemik covid 19 ini banyak kejadian-kejadian atau isu yang membabitkan pekerja berlaku.

“Pada zaman teknologi digital ini, kita mempunyai lebih ramai individu yang berkerja sendiri dan saya difahamkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mempunyai skim perlindungan untuk mereka yang bekerja sendiri dan mereka yang berdagang secara ‘online’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PERKESO di Wisma Perkeso, hari ini.

Pada program hari ini, Shahelmy turut bersama Pengarah PERKESO Sabah Dr Mohd Ali Hindia menziarahi beberapa pencarum PERKESO yang merupakan penerima faedah skim keilatan akibat daripada kemalangan dan sakit.

Shahelmy berkata, majikan dan pekerja juga dinasihatkan supaya tidak memandang rendah keperluan skim ini dan terus menyertai program perlindungan yang diadakan oleh PERKESO.

Katanya, ia sejajar dengan jangkaan Malaysia ke arah Negara Warga Tua menjelang 2030, skim-skim faedah berkenaan warga emas perlu dipertimbangkan.

“Skim-skim kebajikan ataupun perlindungan dan keselamatan sosial bagi warga emas perlu dilihat atau disediakan bermula dari sekarang bagi kita menghadapi tahun 2030 dan seterusnya nanti.

“Penerima faedah mendapat pencen bulanan seumur hidup dan faedah pemulihan bulanan seperti susu, lampin pakai buang, kerusi roda dan keperluan-keperluan lain yang disarankan oleh pegawai perubatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|