Perdaya mangsa dengan caj bagi dapatkan suntikan Covid-19

Perdaya mangsa dengan caj bagi dapatkan suntikan Covid-19

Semporna: Seorang lelaki ditahan selepas didapati melakukan kegiatan memperdayakan orang ramai yang mahu mendapatkan vaksin Covid-19 dengan bayaran RM20 setiap seorang.

Lelaki berusia 61 tahun itu mendakwa boleh membantu menguruskan pengambilan vaksin di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sini, kepada sesiapa saja yang sanggup membuat pembayaran kepadanya.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Farhan Lee Abdullah berkata, lelaki itu ditahan pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna di pekan daerah pada 2.35 petang Jumaat lalu.

Katanya, suspek dikenalpasti melakukan penipuan kepada orang ramai kononnya dia boleh menguruskan pemberian vaksin di Dewan Masyarakat Semporna dengan bayaran RM20 setiap seorang.

“Hasil siasatan awal, suspek dipercayai , sudah melakukan penipuan terhadap seramai 16 individu setakat ini.

“Modus operasi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan bayaran ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Farhan berkata, polis memandang serius dan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti sama ia membabitkan kumpulan sindiket atau individu yang mengambil peluang dengan menawarkan perkhidmatan mendapatkan vaksinasi dengan mengenakan caj.

“Suntikan ini diberikan secara percuma oleh kerajaan dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit.

“Orang ramai khususnya 16 mangsa yang mempunyai maklumat kegiatan ini diminta menghubungi pegawai penyiasat iaitu Sarjan Mohamad Hayazi Hariff Fazilah ditalian 017-895 4967 atau 089-782020 atau tampil ke balai polis yang berhampiran,” katanya.

Farhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|