Abam Botak tidak kisah dimarah walaupun keletihan urus banyak jenazah Covid-19

Abam Botak tidak kisah dimarah walaupun keletihan urus banyak jenazah Covid-19

Kota Kinabalu: Dengan purata lapan jenazah kes kematian Covid-19 perlu dikebumikan setiap hari sudah cukup menggambarkan keletihan yang ditanggung sukarelawan perkhidmatan van jenazah percuma Abam Botak yang beroperasi di daerah Sandakan.

Bukan setakat mengambil jenazah dari rumah mayat hospital dan menghantar ke tanah perkuburan, pasukan yang dianggotai sembilan sukarelawan itu turut membantu kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil mayat Covid-19 di wad dan mengebumikannya.

Semuanya dilakukan secara percuma kerana Abam Botak tidak akan menerima sebarang bayaran daripada waris simati yang dibantu pasukannya atas niat untuk memudahkan urusan fardhu kifayah masyarakat yang kehilangan orang tersayang.

Namun, ada waris yang kurang memahami tugas sukarelawan itu mengambil jalan mudah memarahi pasukan Abam Botak hanya kerana jenazah ahli keluarga mereka yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 lambat dikebumikan.

Pengendali Team Abam Botak, Yunizam Yusop, 33, bagaimanapun berkata beliau tidak kisah jika ada yang marah atau memaki hamun pasukannya atas sebab lambat mengebumikan jenazah ahli keluarga waris kerana memahami emosi mereka yang kehilangan orang tersayang.

Katanya, waris tidak memahami prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM dan pihak berkuasa lain yang perlu dipatuhi sebelum jenazah kes kematian Covid-19 boleh dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

“Ada banyak prosedur perlu dipatuhi untuk pengurusan jenazah Covid-19 sebelum pihak KKM membenarkan jenazah dibawa keluar. Pada masa yang sama kita juga perlu menunggu polis untuk mengiringi penghantaran ke tanah perkuburan sehinggalah proses pengebumian selesai.

“Ia berbeza dengan pengurusan jenazah biasa, namun waris yang tidak memahami prosedur ini, mungkin beremosi lalu memarahi kita pula. Namun saya tidak kisah dimarah atau dimaki-hamun pihak waris kerana yang penting adalah simati,” katanya.

Beliau berkata, walau dimarah sekalipun, ia tidak menjejaskan tugas mereka untuk menyelesaikan pengebumian jenazah Covid-19 dan kembali meneruskan tugas mengebumikan jenazah yang lain pula.

Abam Botak sebelum ini meluahkan di Facebook mengenai ‘kena marah’ pihak waris dan menyatakan permohonan maaf atas kelewatan yang berlaku.

“Mohon maaf juga kepada waris atas kelewatan yang berlaku. Untuk makluman, kami telah gerakkan dan gunakan kesemua kenderaan jenazah yang masih boleh digunakan.

“Sedaya upaya dan seluruh kekuatan yang ada juga telah kami gunakan. Selepas dari itu, jika ada yang mahu marah-marah kami dan maki hamun kami, tidak apalah, cakap sajalah kami faham sebab anda sedang dalam emosi.

“Namun, kami harap anda juga faham akan kesusahan dan keletihan yang kami sedang hadapi. Apa yang penting urusan pengebumian kesemua arwah telah selesai dan selamat dilaksanakan,” luahnya di Facebook Abam Botak, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Yunizam berkata pasukannya juga pernah diuji cabaran dijangkiti Covid-19 yang memaksa lima anggota sukarelawan Abam Botak dikuarantin, menyebabkan hanya empat anggota dapat meneruskan tugas mengebumikan jenazah Covid-19.

Ketika itu, katanya mereka menguruskan purata 12 jenazah Covid-19 sehari dengan hanya empat orang sukarelawan, yang bertungkus-lumus menyelesaikan pengebumian simati sehingga ke malam.

“Pada masa sama, Abam Botak turut diduga dengan masalah kerosakan kenderaan yang dijadikan van jenazah. Ketika ini, kita ada tiga kereta pacuan empat roda dan sebuah van yang keadaannya sudah agak uzur.

“Namun, kami bernasib baik kerana ada kawan, saudara atau pihak lain yang sudi membantu atau menyumbang untuk pembaikan kerosakan atau menyelenggara kenderaan terbabit selain mengisi minyak untuk operasi setiap hari,” katanya.

Sejak penularan pandemik Covid-19 pada tahun lalu, katanya Abam Botak membantu mengebumikan lebih 300 jenazah yang meninggal dunia akibat jangkitan virus berkenaan, termasuk lebih 100 jenazah dalam tempoh dua minggu sejak awal bulan ini.

Katanya, disebabkan peningkatan mendadak kes kematian akibat Covid-19 di Sandakan, pihaknya kini memberi tumpuan kepada usaha membantu mengebumikan jenazah Covid-19 di sekitar daerah itu sahaja.

Sebelum ini, katanya Team Abam Botak turut membantu menghantar jenazah dari Hospital Duchess Of Kent Sandakan ke luar daerah seperti Kinabatangan, Telupid dan Ranau, namun dihentikan seketika berikutan peningkatan kes kematian akibat Covid-19 di Sandakan, dengan jumlah kematian di daerah itu antara tertinggi di Sabah ketika ini.

Berdasarkan laporan harian Covid-19 Sabah semalam, Sandakan mencatat 14 kes kematian akibat Covid-19, malah sebelum ini pernah mencatat jumlah tertinggi sebanyak 21 kes kematian sehari.

Sementara itu, Yunizam berkata walaupun bertugas tanpa rehat sejak penularan pandemik Covid-19, Team Abam Botak tidak pernah mengeluh dengan tugas secara sukarela itu, malah semangat mereka semakin kuat untuk membantu seramai mungkin masyarakat.

“Walaupun tidak dinafikan memang letih melaksanakan tugas ini, namun bagi kami kita perlu membantu memudahkan urusan fardhu kifayah ini tidak kira sama ada jenazah yang dikendalikan ramai atau tidak.

“Malah, kita juga tidak memilih siapa untuk dibantu, sama ada orang Islam atau bukan. Selagi mereka memerlukan khidmat Abam Botak, kita bersedia untuk membantu.

“Malah, baru-baru ini kita membantu mengebumikan satu jenazah Covid-19 bukan Islam walaupun banyak jenazah yang perlu diurus pada hari itu. Warisnya sanggup menunggu walaupun lambat, iaitu sehingga semua kes lain yang terlebih dahulu diserahkan kepada kami diselesaikan, jadi kita bantu semua yang memerlukan khidmat Abam Botak,” katanya.

Katanya, berkat doa dan sokongan pelbagai pihak terhadap pasukan Abam Botak, mereka dapat meneruskan perkhidmatan van dan pengebumian jenazah Covid-19 secara percuma di Sandakan serta berharap ia berpanjangan demi membantu masyarakat, khususnya di daerah berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|