Penyokong 18 tahun ke bawah lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke stadium

Penyokong 18 tahun ke bawah lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke stadium

Kota Kinabalu: Remaja berusia bawah 18 tahun yang lengkap menerima vaksinasi Covid-19 dibenarkan masuk ke stadium untuk menonton perlawanan TM Piala Malaysia 2021 antara Sabah FC menentang PJ City FC, di Stadium Likas, malam esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pintu dan Tiket, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah berkata, bagi remaja yang belum atau tidak lengkap vaksinasi pula masih tidak dibenarkan.

Katanya, keputusan kebenaran itu dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

“Individu yang lengkap menerima vaksin bagi semua peringkat usia dibenarkan memasuki stadium selaras dengan penetapan baharu prosedur operasi standard (SOP).

“Kebenaran itu berkuatkuasa bermula perlawanan minggu keenam iaitu pada 9 dan 10 November,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsuddin berkata, masa kehadiran penonton ke Stadium Likas masih sama seperti ketetapan sebelum ini iaitu bermula jam 6 petang sehingga jam 9 malam.

Manakala katanya, ketetapan lain seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan had pergerakan masih dikuatkuasakan.

“Begitu juga dengan aktiviti makan dan minum di dalam stadium masih tidak dibenarkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|