PRN Melaka: Peluang BN menang lebih cerah – Bung Moktar

PRN Melaka: Peluang BN menang lebih cerah – Bung Moktar

PRN Melaka

Melaka: Barisan Nasional (BN) dilihat berpeluang menguasai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini berbanding Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tiga tahun lalu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata peluang BN juga lebih baik berbanding Perikatan Nasional (PN) berikutan sentimen pengundi yang dilihat tidak menyukai pemimpin melompat parti yang dakwanya banyak dalam parti itu.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (tiga kanan) bersama calon BN N23 Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman ke pusat penamaan calon PRN Melaka di Kompleks Komuniti Desa (KKD) Melaka Tengah.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata rakyat dapat melihat selama berdekad lamanya BN terbukti berjaya mentadbir negara dengan baik untuk kestabilan politik dan ekonomi serta memulihkan negara daripada krisis.

“Berlandaskan kejayaan dan kecekapan BN menjaga kestabilan politik dan mengurus ekonomi negara sebelum ini, tiada sebab bagi rakyat Melaka menolak BN pada PRN ini,” katanya ditemui selepas mengiringi calon BN N23 Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman ke pusat penamaan calon di Kompleks Komuniti Desa (KKD) Melaka Tengah, pagi tadi.

Kerusi berkenaan menyaksikan Abdul Razak yang juga Ketua UMNO Kota Melaka berdepan pertandingan empat penjuru dengan calon PN, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Pengerusi PN Melaka; calon PH, Ashrat Mukhlis Minghat dan seorang calon bebas, Muhammad Ariff Adly Mohammad.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (empat kiri) bersama jentera UMNO Sabah yang membantu kempen PRN Melaka di Bilik Gerakan BN N23 Telok Mas.

Sementara itu, Bung Moktar berkata UMNO serius dalam usaha meremajakan parti melalui pendekatannya meletakkan ramai calon muda pada PRN Melaka kali ini.

Beliau berkeyakinan calon muda yang terpilih pada PRN itu mampu memberikan saingan kepada calon lain dan menggalas amanah serta tanggungjawab sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat.

“Keputusan ini adalah satu perkembangan baik untuk parti kerana kebanyakan calon muda yang dipilih mempunyai latar belakang yang berbeza selain berpendidikan, ada dari kalangan profesional seperti doktor dan sebilangannya adalah calon yang dihasilkan dari kilang pemuda,” katanya.

Bung Moktar menambah bagi Abdul Razak yang dicalonkan di Telok Mas, beliau adalah antara calon muda dihasilkan dari kilang pemuda yang sebelum ini pernah menjadi Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Berikutan itu, katanya Abdul Razak sudah tentu memiliki pengalaman untuk memikul tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya diberikan peluang pada PRN kali ini.

“PRN Melaka kali ini, UMNO bukan saja menampilkan calon yang umurnya muda semata-mata namun terdiri daripada mereka yang sudah lama berjuang dalam parti dan diterima oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar turut mengingatkan jentera parti dari Sabah agar terus membantu calon BN di kawasan yang ditugaskan selain sentiasa menjaga adab dan imej parti di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|