Penganut Kristian buat persediaan awal sambut Krismas

Penganut Kristian buat persediaan awal sambut Krismas

Kota Kinabalu: Kurang tiga hari perayaan Hari Natal akan disambut oleh penganut beragama Kristian, persiapan kini sedang dibuat rapi untuk meraikannya.

Tinjauan mendapati, orang ramai sudah mula berpusu-pusu di premis pasar raya atau kompleks beli belah sejak minggu lalu lagi untuk mendapatkan pelbagai barangan sebagai persediaan menyambut perayaan itu.

Alexander Thien

Pekerja swasta, Alexander Thien, 41, antara yang menyambut perayaan Krismas berkata, tahun ini persediaan agak meriah sedikit berbanding tahun lalu.

“Tahun ini pergerakan sudah tidak terbatas dan orang ramai sudah boleh keluar membeli belah seperti biasa.

“Jadi saya bersama keluarga sudahpun membuat persiapan awal sejak minggu lalu lagi kerana tidak mahu kelam kabut di saat akhir,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Alexander yang berasal dari Kepayan berkata, dia bersyukur kerana keadaan pandemik semakin reda dan kes sudah semakin menurun tetapi dalam masa sama tidak mahu mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ketika sambutan Krismas.

“Sentiasa patuh pada SOP terutama pemakaian pelitup muka dan tidak bersesak di tempat awam antara yang saya sentiasa amalkan.

“Selain itu pemakaian cecair sanitasi sudah menjadi rutin setiap kali berada di pusat beli belah atau selepas membeli barangan,” katanya.

Jonathan Lim

Seorang lagi pekerja swasta, Jonathan Lim, 39, berkata perayaan Krismas tahun ini disambut dengan sederhana kerana masih berjaga-jaga dengan keadaan pandemik Covid-19.

“Saya sudah pun buat persiapan minggu lalu dan lebih kepada beli barang-barang dekorasi pokok krismas dan biskut.

“Sambutanpun ala kadar saja setakat untuk berkumpul sesama keluarga dan sahabat handai terdekat memandangkan tempoh masa untuk berkumpul pun terhad selama tiga jam saja,” katanya yang berasal dari Penampang.

Terdahulu, tinjauan di sekitar Kota Kinabalu mendapati keadaan aliran trafik dilihat sedikit sesak sejak hujung minggu lalu.

Laluan masuk ke Kota Kinabalu mulai sesak seawal jam 9 pagi dimana orang ramai mulai berkunjung ke pusat beli belah di bandar untuk membeli belah bagi menyambut perayaan Krismas.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|