PRU-15: UMNO Beluran mahu kekalkan kerusi Parlimen Beluran

PRU-15: UMNO Beluran mahu kekalkan kerusi Parlimen Beluran

Beluran: UMNO Beluran mahu mengekalkan kerusi Parlimen Beluran dan meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Bahagiannya, Julie Sabran, berkata perkara itu adalah antara usul yang dibincang dan diluluskan sebulat suara pada mesyuarat perwakilan bahagian berkenaan, baru-baru ini.

Ketua Bahagian UMNO Beluran, Julie Sabran.

Katanya, kerusi Parlimen Beluran perlu dikekalkan di tangan UMNO perlu kerana ia adalah kerusi tradisi parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Tegasnya lagi, Parlimen Beluran juga adalah kerusi ‘fix deposit’ UMNO selama ini.

“Baru-baru ini dalam mesyuarat perwakilan kita mahu ‘seat’ Parlimen Beluran ini dikekalkan sebab ‘seat’ ini adalah kerusi tradisi UMNO.

“Kita akan kekalkan, Insya’Allah kita akan bertanding pada PRU-15 dan saya yakin serta percaya ‘seat’ Parlimen Beluran ini adalah ‘fix deposit’ kepada BN,” Katanya.

Menurutnya, berdasarkan jumlah keahlian UMNO Beluran ketika ini iaitu lebih 19,000 orang, pihaknya yakin kerusi Parlimen itu dapat dikekalkan milik UMNO pada PRU-15.

Julie berkata, daerah Beluran memerlukan perubahan selepas menjadi antara daerah termundur dan termiskin sehingga ke hari ini.

“Penduduk daerah Beluran ini masih dalam keadaan terpinggir. Seperti yang kita sedia maklum, statistik di Sabah ni, daerah Beluran antara yang termundur, termiskin.

“Jadi saya yakin dan percaya untuk kepimpinan baharu yang akan datang ini insya’Allah daripada UMNO kita akan buat transformasi terutama sekali untuk membangunkan kawasan luar bandar di daerah Beluran.

“Kalau kita tengok di media sosial rakyat rindukan pembangunan di daerah Beluran,” katanya.

Justeru itu, pihaknya berharap kerusi Parlimen berkenaan dapat dikekalkan sebagai kerusi tradisi UMNO pada PRU ke-15.

Ketika ini, kerusi Parlimen berkenaan disandang Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan memenangi kerusi berkenaan atas tiket BN mewakili UMNO pada PRU 2018 tetapi meninggalkan parti bersama beberapa lagi bekas pemimpin UMNO negeri pada akhir 2018 sebelum menyertai BERSATU.

Dalam pada itu, Julie berkata selain usul mengekalkan kerusi berkenaan, UMNO Beluran turut meluluskan usul menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mentadbir negara sehingga PRU-15.

UMNO Beluran juga menyokong padu kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|