ATB 2 gagalkan cubaan PATI masuk secara haram di Tawau

ATB 2 gagalkan cubaan PATI masuk secara haram di Tawau

Tawau: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menahan seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang menyelinap masuk secara haram melalui perairan daerah ini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.15 malam itu, Tim Quick Reaction Force (QRF) yang sedang melaksanakan rondaan Op Benteng Bersama dengan menggunakan motosikal dan sebuah pacuan empat roda mengesan sebuah bot berada dalam keadaan mencurigakan selepas merapat ke perkampungan rumah atas air, Batu 3 Tawau.

Pasukan ATB 2 menahan 7 PATI yang memasuki perairan negara secara haram melalui perairan Tawau. Pix Ihsan ATB 2

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, bot yang membawa PATI kemudiannya dilihat beredar dari kawasan berkenaan.

Katanya, kelihatan tujuh individu terdiri dari dua lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan kemudiannya kelihatan tergesa-gesa berlari menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Corolla berwarna putih yang berada berhampiran kawasan berkenaan.

Kenderaan yang digunakan bagi membawa PATI terbabit. Pix Ihsan ATB 2

“Tim QRF kemudiannya bertindak mengekori rapat dan menahan kenderaan berhadapan stesen minyak di Batu 3.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki dewasa warga tempata berusia 50 tahun dipercayai agen selain tujuh warga Indonesia tidak memiliki dokumen berusia antara lima sehingga 47 tahun yang berada di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim menyatakan siasatan awal mendapati semua PATI terbabit menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau.

“Mereka kemudiannya diambil oleh seorang menggunakan kenderaan menuju ke bandar Tawau.

“Agen warganegara tempatan itu telah ditahan dan bakal didakwa mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Tambahnya lagi, semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk proses saringsn Covid-19 dan tindakan selanjutnya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan warga MK ATB 2 untuk kekal menjadi angkatan yang kredibel dan sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi sebilang masa.

“Saya juga merakamkan terima kasih kepada Tim OCP Daratan ESSCOM dan IPD Tawau di atas sokongan pelaksanaan operasi ini.

“Kerjasama ini menggambarkan sempadan negara dikawal dan ditangani secara serius oleh semua agensi penguatkuasaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|