Lahad Datu: Demi melaksanakan amanah warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah, semalam, melaksanakan penerbangan ihsan membawa jenazah Koperal Iswandi Ngaliman dari Lahad Datu ke Kuching, Sarawak.
Iswandi meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya yang dilaporkan berlaku pada 3 November lalu di daerah ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PGU Sabah, penugasan operasi penerbangan Bodevac itu dilaksanakan dengan menggunakan Pesawat Cessna Caravan CE 208 (9M-PSQ).
Operasi penerbangan diketuai Deputi Superintendan Peter A/K Francis Rudin selaku juruterbang dan komander operasi pesawat.
Jenazah dimasukkan ke dalam pesawat sebelum diterbangkan ke Kuching Sarawak. Pix ihsan PGU Sabah
Manakala operasi turut dibantu Asisten Superintendan Chan Chee Veng selaku pembantu juruterbang dan Pemerhati Udara bertugas Sub Inspektor Sepuan Wan Bagus.
Pelepasan jenazah turut dihadiri Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad di Lapangan Terbang Lahad Datu.
Penerbangan pesawat ke Kuching, Sarawak itu berlaku kelewatan disebabkan beberapa faktor berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pengawalan penyakit berjangkit selain keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Pesawat kemudiannya berlepas pada jam 9.45 pagi sebelum tiba di Lapangan Terbang Kuching pada jam 1.15 petang.
Sebaik tiba, jenazah Allahyarham disambut pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sarawak dan PGU Pangkalan Sarawak.
Jenazah kemudiannya disemadikan di kampung halaman Allahyarham di Kampung Menaul, Serian, Sarawak.
-Deasoka