Ceburi bidang francais untuk tembusi pasaran global

Ceburi bidang francais untuk tembusi pasaran global

Kota Kinabalu: Seorang usahawan tempatan berani mengambil risiko dengan menceburi bidang francais ketika banyak perniagaan terjejas dan ditutup akibat pandemik Covid-19.

Namun perniagaan berasaskan makanan dan minuman jenama ‘Honey Lush’, itu ternyata mampu berkembang maju apabila kini sudah membuka sembilan cawangan di seluruh negeri dalam tempoh masa yang singkat.

Pengusaha terbabit Hafeez Almudin, 33, berkata, dia memulakan perniagaan francais Honey Lush pada bulan April tahun ini.

Namun katanya, perniagaan miliknya itu ternyata berdepan risiko apabil ramai pengusaha kedai lain yang terpaksa menutup perniagaan berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Idea di sebalik Honey Lush ini bermula dengan inspirasi untuk membawa rasa makanan terbaru ke Sabah, terutamanya pencuci mulut.

“Kami membuka rangkaian francais pertama menawarkan pencuci mulut yang menggabungkan ‘honeycomb’ dengan hidangan aiskrim,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran pembukaan cawangan Honey Lush di Putatan, d sini, hari ini.

Hafeez berkata, produk makanan pencuci mulut mereka menjadi viral dan ramai yang mengaku sangat menyukainya.

Katanya, walaupun tidak ramai yang dapat datang ke kedai mereka, namun mereka tetap mendapat banyak pesanan menerusi aplikasi Grab dan Food Panda.

“Menghidangkan pencuci mulut berasaskan madu, Honey Lush mempunyai lima jenis perisa aiskrim dan lima jenis perisa minuman dalam menu ketika ini.

“Malah kami sedang dalam usaha mencipta perisa aiskrim baru seperti aiskrim picagari coklat dan aiskrim bakar bagi memperbanyakan menu pilihan.

“Mudah-mudahan produk pencuci mulut perisa baru ini akan dapat dilancarkan menjelang bulan Disember akan datang,” katanya.

Hafeez berkata, Honey Lush turut berhasrat untuk mengembangkan perniagaan francais sehingga ke Sarawak dan negara jiran Brunei.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai yang hadir melancarkan cawangan keenam Honey Lush berkata, keberanian Hafeez membuka perniagaan ketika pandemik Covid-19 harus diberi pujian.

Katanya, keputusan itu mencerminkan keyakinan orang ramai terhadap pemulihan ekonomi yang cepat di negeri ini.

“Sesungguhnya, sektor makanan dan minuman memainkan peranan penting dalam industri pelancongan. Pembukaan francais tempatan membolehkan pelancong menikmati dan merasai produk makanan dan minuman keluaran tempatan.

“Oleh itu, saya berharap dengan usaha gigih dan usaha promosi yang berkesan, kita dapat menyaksikan pembukaan cawangan francais tempatan Honey Lush di negeri lain dan akhirnya sampai ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Joniston, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata, beliau percaya kreativiti dan inovasi keusahawanan Hafeez akan memberi inspirasi kepada belia Sabah untuk menceburi bidang perniagaan dan berjaya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|