Penamaan calon PRN Melaka hari ini

Penamaan calon PRN Melaka hari ini

Melaka: Penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung hari ini membabitkan sebanyak 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiap kerusi dijangka menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

BN merangkumi UMNO, MCA dan MIC, manakala PN terdiri daripada gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), GERAKAN dan PAS.

PH pula pertama kali menggunakan lambang sendiri mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), AMANAH dan DAP.

Turut dijangka bertanding ialah calon parti MUDA dan bebas.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada awal Oktober lalu selepas empat wakil rakyat mewakili kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menterinya.

Kerajaan Melaka sebelum ini dipimpin UMNO selepas kejatuhan kerajaan PH berikutan penarikan diri BERSATU pada Mac tahun lalu yang membentuk kerajaan baharu PN di peringkat persekutuan.

Rakyat Melaka akan menunaikan tanggubgjawab sebagai pengundi pada 20 November ini dengan tempoh kempen selama 12 hari.

Sepanjang kempen, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dikuatkuasakan termasuk tiada perhimpunan dibenarkan berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|