Penepatan SOP dine-in kekal: Masidi

Penepatan SOP dine-in kekal: Masidi

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri kekal menetapkan Prosedur operasi standart (SOP) bagi kelulusan aktiviti dine-in di semua restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun (gambar) berkata, ketetapan yang dilaksanakan sejak 29 Jun lalu itu adalah bersesuaian yang diumumkan Ketua Menteri Sabah pada hari ini.

“Selain daripada SOP-SOP yang wajib dipatuhi di semua premis restoran, hidangan buffet (layan diri) adalah tidak dibenarkan bagi mengawal pergerakan tidak perlu oleh pelanggan-pelanggan semasa berada dalam restoran.

“Hidangan yang dipesan hendaklah dihantar dan dihidang oleh kakitangan restoran di meja pelanggan. Peraturan ini diguna pakai di semua restoran termasuk restoran dalam hotel,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media rutinnya, pada hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, SOP-SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua bagi negeri ini telah dikeluarkan dengan beberapa garis panduan telah dikeluarkan.

Antara yang digariskan adalah SOP sektor pengangkutan awam, maritim dan sektor pembinaan dan penyelenggaraan.

“Beberapa sektor seperti stesen minyak dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 8 malam, sektor pembinaan dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 8 malam dengan kapasiti pekerja di pejabat adalah sebanyak 80 peratus manakala di rumah pula 20 peratus.

“Manakala perkara-perkara lain seperti SOP pengurusan pengebumian di rumah ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 6 petang dengan tempoh upacara tidak melebihi dua jam dan kehadiran ahli keluarga tidak melebih lima orang.

“Bagi SOP Taska dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak pula, tempoh beroperasi bermula jam 6 pagi hingga jam 6 petang dengan kapasitinya hanya 50 peratus tertakluk kepada keluasan lokasi,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan beliau berkata, empat kluster baharu direkodkan di Sabah pada hari ini.

Antara kluster dimaksudkan adalah Kluster KKIP Empat Timur-Kota Kinabalu, Kluster Grandview (Sandakan, Putatan, Penampang), Kluster Balak Penangah, Tongod dan Kluster Jalan Membalua, Tawau.

“Jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 251 kes dengan menjadikan jumlah kumulatifnya sebanyak 72,042 kes.

“Tiada sebarang kes kematian dilaporkan pada hari ini,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|