Melecur ketika cuba padam api

Melecur ketika cuba padam api

Ranau: Seorang lelaki melecur di kedua-dua tangannya ketika cuba memadam api selepas rumah sewa didiami bersama keluarganya musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Kibbas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, mangsa berusia 43 tahun yang cedera menerima rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Ranau, untuk rawatan lanjut.

Manakala enam ahli keluarga mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anggota bomba memadam api dalam kebakaran di Kampung Kibbas, Ranau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.21 malam.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, dua jentera dengan kekuatan seramai 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi pemadaman.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati sebuah rumah telah terbakar sepenuhnya.

Rumah dihuni tujuh sekeluarga musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Kibbas, Ranau.

“Seorang penghuni melecur di kedua-dua tangan ketika cuba memadam api. Mangsa kemudian diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba mengawal kebakaran menggunakan satu aliran dengan sumber air daripada jentera bomba dan bekalan air dari sebuah sekolah berdekatan.

Kelihatan api marak yang memusnahkan rumah tersebut dalam kejadian di Kampung Kibbas, Ranau.

“Api dapat dikawal jam 8.52 malam dan operasi tamat jam 9.06 malam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan anggota bomba,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|