Kinabatangan: Pemimpin masyarakat di negeri ini diminta supaya kerap turun padang untuk memberi penerangan mengenai program dan dasar yang dilaksanakan kerajaan di samping meninjau keadaan rakyat di kawasan masing-masing.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata langkah itu penting bagi memastikan rakyat mengetahui usaha dilaksanakan kerajaan dalam membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, berkata rakyat khususnya di kawasan luar bandar berhadapan dengan pelbagai masalah terutama dari aspek kebajikan disebabkan pandemik berkeaan.
“Pemimpin masyarakat terutamanya Ketua Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pemaju Mukim dan lain-lain perlu cakna kepada isu semasa dan segera menyalurkan maklumat kepada pemimpin di atas agar tindakan segera bagi membantu mereka yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 dapat dilakukan,” katanya.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berbincang bersama pemimpin masyarakat yang disertai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gapar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pejabat ADUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan yang baharu di pekan baharu Bukit Garam, seterusnya mengadakan perjumpaan bersama pemimpin masyarakat di kawasan berkenaan, baru-baru ini.
Selain itu, tambah Bung Moktar, pendekatan turun padang itu bukan sahaja menjelaskan kesungguhan kerajaan dalam membela nasib rakyat, malah dapat menangkis tuduhan yang dilemparkan pembangkang terhadap kerajaan.
“Pembangkang sekarang keluar masuk kampung memberitahu rakyat akar umbi agar kepimpinan kerajaan harus diubah, walhal kita sekarang hidup dalam keadaan baik dan harmoni.
“Kita kena jaga negeri kita dengan baik. Jangan kita tersalah dengar cakap (pembangkang) sehingga kita akhirnya sedar keadaan sekarang lebih baik berbanding di bawah kepimpinan pembangkang,” katanya.
Bung Moktar berkata pemimpin masyarakat juga perlu bijak menyampaikan program dan dasar kerajaan agar rakyat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.
Katanya, kerajaan sentiasa berusaha menjaga amanah rakyat dengan menyediakan pelbagai peluang agar kehidupan rakyat lebih sejahtera.
“Tugas dan tanggungjawab kita sebagai pemimpin nasyarakat akar umbi bukan sekadar duduk di pejabat tetapi perlu turun ke lapangan bagi mendapatkan maklumat yang tepat mengenai apa juga isu rakyat baik dari segi kebajikan dan pembangunan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut berterima kasih kepada pemimpin masyarakat dan penjawat awam negeri serta persekutuan khususnya di kawasan ini kerana membantu memudahkan kerjanya sebagai wakil rakyat.
“Kita bekerja sebagai satu pasukan untuk membangunkan kawasan ini dalam menyediakan prasarana dan meningkatkan ekonomi rakyat,” katanya.
-Deasoka