70.3 peratus penduduk dewasa Sabah sudah lengkap vaksin

70.3 peratus penduduk dewasa Sabah sudah lengkap vaksin

Kota Kinabalu: Sabah baru mencapai 70.3 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19 setakat semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia mewakili seramai 1,939,517 orang penduduk dewasa.

Katanya, penduduk dewasa yang menerima satu dos vaksin pula seramai 2,079,569 orang atau 75.4 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Sabah.

“Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima satu dos vaksin setakat 11 Oktober 2021 ialah seramai 2,380,981 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 2,079,569 orang adalah penduduk dewasa iaitu bersamaan dengan 75.4 peratus daripada jumlah penduduk dewasa.

“Bagi penduduk yang menerima dos lengkap pula ialah seramai 2,055,483 orang. Daripada jumlah ini, seramai 1,939,517 orang atau 70.3 peratus adalah penduduk dewasa,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Masidi berkata bagi vaksinasi remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun, seramai 301,412 orang atau 70.7 peratus sudah menerima satu dos vaksin, setakat semalam.

Beliau berkata, seramai 115,966 atau 27 peratus daripada jumlah remaja di Sabah pula sudah menerima vaksin lengkap.

“Laporan vaksinasi harian COVID-19 semalam pula merekodkan seramai 41,979 orang menerima vaksin, iaitu 15,003 penduduk dewasa, manakala seramai 26,976 orang adalah remaja,” katanya.

Sabah disasar mencapai imuniti kelompok vaksin COVID-19 atau 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin pada awal bulan depan.

Sementara itu, beliau berkata kes Covid-19 di Sabah meningkat 175 kes kepada 707 kes pada hari ini berbanding 532 kes yang dilaporkan semalam.

Katanya, sebanyak 13 kes kematian turut dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di Kota Kinabalu, diikuti dua kes di Tuaran, Sandakan dan Keningau manakala Semporna, Tenom, Kinabatangan dan Pitas masing-masing mencatat satu kes kematian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|