MKMA63 bincang secara mendalam hak dan perlindungan Sabah, Sarawak

MKMA63 bincang secara mendalam hak dan perlindungan Sabah, Sarawak

Kota Kinabalu: Hak dan perlindungan Sabah dan Sarawak akan dibincangkan secara mendalam di peringkat persekutuan melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63), dan empat jawatankuasa kerjanya, termasuk berkaitan keselamatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata di bawah pasukan baharu, terma rujukan merangkumi semua hak dan perlindungan Sabah dan Sarawak, pembangunan sosio ekonomi, komitmen syarat dan undang-undang kewangan, pendatang tanpa izin dan imigrasi, kawalan keselamatan dan sempadan serta pembangunan sosio-ekonomi.

“Ketika di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Jawatankuasa Kabinet Khas untuk Mengkaji Pelaksanaan MA63 (JKKKMA63) hanya berfokus kepada isu-isu hak, perlindungandan aspek undang-undang lain MA63.

“Manakala di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), kerangka acuan MKMA63 meliputi semua hal, meliputi hak dan perlindungan hukum; komitmen undang-undang kewangan dan syarat; keselamatan dan kawalan sempadan Sabah dan Sarawak; keselamatan; pendatang tanpa izin, imigrasi haram dan pencerobohan asing; serta pembangunan sosio-ekonomi,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, di Kuala Lumpur, hari ini.

Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata dalam pertemuan itu, isu yang dibincangkan adalah masalah keselamatan bersama yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak serta tindakan yang diambil oleh agensi keselamatan untuk memastikan keselamatan sempadan sentiasa dijaga dan terpelihara.

“Jawatankuasa Kerja Keselamatan juga turut membincangkan masalah mengenai isu kewarganegaraan orang asal dari Sabah dan Sarawak yang belum memiliki dokumen kewarganegaraan,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata hasil dan ketetapan keempat-empat jawatankuasa kerja akan dibentangkan dalam Mesyuarat MKMA63 yang dijadualkan pada 14 Oktober ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|