Bas elektrik atau e-Bus pertama di Sabah dijangka beroperasi Disember ini

Bas elektrik atau e-Bus pertama di Sabah dijangka beroperasi Disember ini

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memulakan langkah untuk merealisasikan pengangkutan awam berteknologi hijau dengan memperkenalkan bas elektrik (e-Bus) pertama di negeri ini.

Bas berkenaan adalah inisiatif cabang pelaburan strategik kerajaan negeri, Qhazanah Sabah Berhad (QSB) dalam mempromosikan penggunaan teknologi hijau seiring usaha mengurangkan masalah pencemaran.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin, berkata usaha QSB meneroka potensi e-Bus sebagai pengangkutan awam di Sabah adalah langkah pembangunan yang tepat demi kepentingan alam sekitar.

“Jumlah trafik kenderaan di jalan raya di Sabah terus meningkat dan tiada siapa dapat menafikan bahawa pencemaran daripada kenderaan konvensional turut menyumbang kepada perubahan iklim.

“Kita perlu melakukan apa saja yang kita ada bagi menangani situasi ini yang memberi ancaman kepada manusia. Di seluruh dunia penggunaan kenderaan bertenaga elektrik semakin meningkat kerana ia lebih mesra alam dan kita juga perlu bergerak ke arah itu.

“Sehubungan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada QSB kerana mengambil inisiatif memperkenalkan e-Bus di Kota Kinabalu. Dengan ketiadaan transit aliran massa (MRT) di Kota Kinabalu ketika ini, bas berkuasa elektrik boleh menjadi alternatif untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang bersih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelancaran bas pertama menggunakan kuasa elektrik di Sabah itu disempurnakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai yang mewakili Jafry di Wisma Tuan Fuad, di sini.

Majlis itu disaksikan Pengarah Eksekutif QSB, Mohd Shukor Abdul Mumin; Pengarah QSB, Datuk Dr Johnson Tee; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) QSB, Ahmad Rizal Dahli; Pengarah Eksekutif Gemilang Coachwork, Pang Jun Jie; CEO Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Noredah Othman; Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Norsiah Patah dan Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lifred Wong.

Sementara itu, Jafry turut menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk meneroka lebih lanjut penggunaan e-Bus sebagai kenderaan pengangkutan awam utama di Kota Kinabalu dan daerah lain di Sabah.

“Kita mesti cari jalan untuk menjadikan ini satu realiti. Walaupun sekarang baru ada satu bas, kita jadikan ini sebagai permulaan untuk sistem pengangkutan awam yang lebih selesa dan bersih,” katanya.

Dalam pada itu, Shukor berkata sejurus projek perintis e-Bus itu bermula, Sabah sudah selangkah ke hadapan dalam penggunaan tenaga hijau untuk menghidupkan pengangkutan awam di negeri ini.

“QSB bangga dapat memainkan sebahagian peranan dalam mempromosi ekonomi hijau selaras dengan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Katanya, e-Bus akan membantu mempromosikan gaya hidup yang lebih mesra alam dalam mengurangkan pelepasan karbon.

Pengenalan e-Bus adalah hasil kerjasama di antara QSB dan Gemilang Coachwork Sdn Bhd, sebuah peneraju e-Bus di Asia dan pembuat badan bas aluminium.

Bas berkenaan disasar boleh memulakan operasi sejurus aspek berkaitan selesai diselaraskan dengan pihak berkuasa yang dijangka bermula Disember ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|