Kota Kinabalu: Parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong pelantikkan Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Ismail Sabri Yakoob sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang berkuatkuasa pada hari ini.
Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dalam satu kenyataan medianya sebentar tadi berkata, pelantikkan Ismail Sabri adalah bersesuaian ditambah trek rekodnya yang pernah menjawat beberapa potfolio penting di dalam pentadbiran negara.
Beliau berkata, pihaknya turut menyatakan harapan dengan pelantikan tersebut, ianya bakal mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara negeri Sabah dan kerajaan pusat.
“Saya tiada keraguan dengan pelantikkan ini bahkan ianya dilihat akan menguatkan lagi kerajaan disamping kestabilan politik sedia ada,”katanya.
Sementara itu, Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee pula berpendapat pelantikkan tersebut adalah amat bertepatan dalam usaha memantapkan lagi Perikatan Nasional (PN)mengemudi kerajaan.
Bahkan, pelantikan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien sebagai Menteri Kanan sekaligus mengetuai Kluster Keselamatan itu bakal menguatkan peranan mereka selain mendapat dokongan daripada Majlis Tertinggi PN.
“Sudah tentu dengan pelantikan kedua-duanya, akan menguatkan PN dalam memberi fokus pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Dalam pada itu, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas rombakan kecil dalam menteri kabinet, sambil menambah ia akan mengukuhkan lagi Kerajaan dan barisan Kabinet PN.
“Perlantikan Timbalan Perdana Menteri yang baharu ini bukan sahaja tepat pada masanya, tapi juga tindakan yang sewajarnya, khusus dalam memenuhi keperluan negara.
“Beliau (Ismail) adalah pemimpin yang tepat untuk tugasan tersebut setelah menunjukkan prestasi yang sangat baik tahun sebelumnya.
“Beliau juga telah menjalankan tugasan baik sebagai menteri kanan, terutama dalam mengawal dan menangani situasi Covid-19 di negara ini,” kata Maximus, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).
-Deasoka