Bukan semua 69 penduduk Kg Pondo positif Covid-19 berada di tanah besar

Bukan semua 69 penduduk Kg Pondo positif Covid-19 berada di tanah besar

Kota Kinabalu: Sebahagian besar daripada 69 penduduk yang didakwa kononnya melarikan diri ke tanah besar selepas disahkan positif Covid-19 masih berada di Pulau Gaya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kebanyakan daripada mereka masih berada di perkampungan berkenaan dan menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Katanya, sebahagian besar mereka berada di beberapa kampung iaitu Kampung Pondo, Kampung Wakaf dan Kampung Labuan.

Mohd Zaidi dalam sidang media berhubung isu itu di IPD Kota Kinabalu, petang tadi.

“Manakala sebahagian lagi berada di perkampungan bersebelahan untuk menginap di rumah saudara mara lain.

“Mereka ini adalah masyarakat Pala’uh, oleh itu kefahaman mereka berhubung Covid-19 sangat kurang dan tidak sedar mereka dikehendaki oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disebabkan positif COVID-19,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kebanyakan mereka masih berada di rumah masing-masing sehinggalah berjaya dikesan oleh kakitangan KKM yang terpaksa menaiki bot mencari dari rumah ke rumah.

Katanya, lima daripada keseluruhan 71 yang disahkan positif dan didakwa menghilangkan diri juga sudah berjaya dikesan.

“Kumpulan penduduk terbabit tidak mengetahui mereka perlu menyerah diri di Pusat Kuarantin di Masjid Kampung Pondo Tengah dan Kampung Labuan.

“Malah salah seorang penduduk wanita yang dikesan di Pasar Safma, di sini, baharu saja selesai membeli ikan dan mahu pulang semula ke Kampung Pondo,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, IPD Kota Kinabalu bagaimanapun mengambil langkah pencegahan dengan menubuhkan pasukan khas bagi mengesan sebahagian kecil penduduk yang dipercayai melarikan diri pada waktu malam.

“Kita sedang menyiasat untuk mengesan individu yang masih hilang termasuk menjalankan pemeriksaan di kawasan bilik sewa sepertimana yang didakwa pada maklumat tular di sekitar Sinsuran dan Kampung Air.

“Polis juga sudah memperoleh maklumat serta gambar penduduk yang masih hilang dan tindakan menyebarkan maklumat itu akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, ia bagi memastikan semua penduduk masih hilang dapat dikesan segera untuk tindakan selanjutnya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|