Pemilik perlu pastikan senjata api selamat, terjaga

Pemilik perlu pastikan senjata api selamat, terjaga

Sandakan: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali mengingatkan pemilik senjata api berlesen di negeri ini supaya sentiasa menjaga senjata api milik mereka dengan selamat.

Menurutnya, setiap pemilik senjata api perlu menjaga tanggungjawab masing-masing dan tidak sesekali meminjamkan kepada orang lain.

“Ia bagi mengelakkan senjata api itu disalahguna sehingga menyebabkan pelbagai insiden termasuk mencederakan orang lain.

“Ketua Polis Negara sentiasa mengingatkan perkara ini supaya senjata api tidak disalahguna berdasarkan kes sebelum ini.

“Ada laporan yang diterima, pemilik senjata api yang mengendalikan senjata sehingga mencederakan orang lain atau ia digunakan untuk memburu secara haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada pemegang lesen senjata api pada Program Pembaharuan Lesen Senjata Api jenis Pistol tahun 2021/2022 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, hari ini.

Pembaharuan lesen dan pemeriksaan senjata api awam itu membabitkan pelesen di empat daerah membabitkan Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan dan Beluran.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin dan Timbalannya Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek serta Pegawai Perlesenan IPK Sabah Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka.

Hazani berkata, bagi pemohon baharu pula, mereka perlu memastikan mengikut segala prosedur yang ditetapkan.

Katanya, sokongan hanya diberikan kepada mereka yang memenuhi syarat namun kelulusan hanya akan diperolehi daripada Ketua Polis Negara.

“Antara syarat ditetapkan termasuk pemilik perlu menjalani pemeriksaan kesihatan selain memastikan tahap keselamatan senjata api berada dalam keadaan baik sebelum pemeriksaan senjata dijalankan,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkaitan isu senjata api tiruan menyerupai senjata api sebenar yang menggunakan peluru jenis gel blaster, Hazani berkata, setakat ini ia masih tidak boleh dilesenkan.

Katanya, ia menjadi kesalahan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|