Pemilik melecur, rumah dan kenderaan musnah terbakar

Pemilik melecur, rumah dan kenderaan musnah terbakar

Kota Belud: Seorang lelaki warga emas berusia 60-an melecur pada bahagian belakang badannya selepas rumahnya di Kampung Tawadakan, Jalan Tamau, di sini, musnah dalam kejadian kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, sebuah kereta dipercayai milik mangsa turut musnah 100 peratus selepas gagal diselamatkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.10 tengah hari.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah membakar sebahagian besar daripada rumah berkeluasan 28 meter persegi berkenaan.

“Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 61 meter,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tindakan mengawal api kebakaran terpaksa diambil segera bagi mengelakkan sebuah lagi rumah yang berada berhampiran daripada turut terbakar.

Katanya, seorang lelaki yang mengalami kecederaan melecur di bahagian belakang badannya terus dihantar ke Hospital Kota Belud oleh pasukan EMRS.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|