Pelancaran FEPO disasar lonjakkan lagi industri sawit Sabah

Pelancaran FEPO disasar lonjakkan lagi industri sawit Sabah

Kota Kinabalu: Industri minyak sawit di Sabah dijangka berkembang dengan lebih pesat menerusi pelancaran Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) oleh Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau yakin FEPO bakal menjadikan industri minyak sawit di Sabah lebih maju dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih besar pada masa depan.

Katanya, ia sejajar dengan kedudukan Sabah sebagai pengeluar minyak sawit mentah (CPO) terbesar negara dengan sebanyak 4.65 juta tan metrik direkodkan pada tahun lalu, menguasai 24 peratus pengeluaran minyak sawit nasional.

“Saya meramalkan FEPO akan memainkan peranan penting untuk kemajuan industri kelapa sawit di
Sabah pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran FEPO, di sini, hari ini.

Pelancaran FEPO secara maya disempurnakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin; Hajiji dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift dan Ketua Pegawai Eksekutif BMD, Samuel Ho.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata dengan adanya FEPO, perniagaan minyak sawit domestik dapat meneroka harga alternatif melalui tukaran dan menghantar CPO ke mana-mana tiga pusat penghantaran ditentukan selepas tamat kontrak.

Katanya, FEPO juga diharap dapat mencipta lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan di setiap rantaian bekalan industri kelapa sawit seperti pengangkutan, kemudahan penyimpanan, kualiti penyelidikan dan aktiviti hiliran yang lain.

“Di pentas global, FEPO yang akan diperdagangkan oleh peserta antarabangsa akan berfungsi sebagai platform pemasaran untuk mempromosikan produk berkaitan sawit Sabah dan menarik pelaburan langsung asing (FDI).

“Saya berasa bangga apabila mengetahui BMD telah menetapkan Lahad Datu dan Sandakan sebagai pusat penghantaran untuk FEPO,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sabah mengiktiraf industri minyak sawit sebagai bahagian utama ekonomi negeri dan mahu memperluaskan lagi sumbangannya.

“Oleh itu, dua Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) iaitu POIC Lahad Datu dan POIC Sawit, Sandakan dibangunkan untuk menyediakan infrastruktur yang diperlukan bagi mengekalkan pertumbuhan jangka panjang industri kelapa sawit di Sabah,” katanya.

Tambahnya, POIC Lahad Datu yang juga syarikat milik penuh kerajaan negeri, meliputi keluasan 4,400 ekar untuk industri ringan, sederhana dan berat serta dilengkapi dengan kemudahan pelabuhan yang komprehensif.

Jelasnya, pelabuhan POIC Lahad Datu yang dilengkapi kargo pukal, kargo cecair dan kontenadapat menampung kapal kargo yang besar kerana memiliki kedalaman yang sesuai secara semula jadi.

POIC Sawit pula, katanya yang dikendalikan oleh cabang pelaburan minyak sawit kerajaan negeri, Sawit Kinabalu Sdn Bhd terletak di kawasan seluas 2,810 ekar di Sandakan dan sudah dibangunkan untuk memacu pelaburan dalam industri hiliran minyak sawit.

Kedua-dua POIC itu dikelilingi kawasan ladang kelapa sawit dan berhampiran dengan wilayah yang kaya sumber di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur -Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP- EAGA).

“Ia adalah aset penting bagi Sabah kerana menjadi pautan penting dalam rangkaian infrastruktur untuk projek industri utama yang sedang dipertimbangkan untuk mempercepat pembangunan di pantai timur Sabah.

“Saya yakin, dengan ekosistem FEPO disatukan ke dalam dua POIC ini, ia akan meningkatkan potensi sinergi antara pasaran derivatif dan industri minyak sawit tempatan, sekali gus membawa pertumbuhan baharu kepada ekonomi Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|