Anak kampung perlu simpan impian untuk berjaya – Fairuz Renddan

Anak kampung perlu simpan impian untuk berjaya – Fairuz Renddan

Kota Belud: Generasi muda, khususnya anak kampung perlu menyimpan impian untuk melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading dan berusaha mencapainya sebagai pelapis kejayaan keluarga dan komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan, berkata beliau yakin ramai anak muda Sabah yang bijak, rajin dan mempunyai keinginan untuk mencipta kejayaan dengan harapan mendapat pekerjaan yang baik agar dapat membantu keluarga satu hari nanti.

Bagaimanapun, katanya mereka perlu diberikan sokongan berterusan agar sentiasa bersemangat untuk berusaha dan memperbaiki pencapaian diri ke arah yang lebih baik demi masa depan mereka dan keluarga.

“Ibu bapa dan guru-guru perlu sentiasa menjadi pembakar semangat dan menyuntik motivasi kepada anak-anak kerana mereka adalah harapan kita, harapan bangsa yang kelak akan menerajui negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama anak-anak dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan yang menerima tawaran kemasukan ke universiti, di sini, kelmarin.

Fairuz yang juga Ketua ARMADA BERSATU Sabah turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 15 pelajar yang menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti tidak lama lagi.

“Saya sebagai ADUN di sini, tiada lain harapan saya, tentunya saya ingin anak-anak muda kita berjaya dan mengharumkan nama Pintasan, selain daripada membawa pembangunan dan membantu rakyat di sini.

“Saya amat bangga dengan anak-anak ini yang pastinya tidak lama lagi akan berjaya dan menjadi contoh ikutan kepada generasi seterusnya, semoga adik-adik semua terus berjaya dengan cemerlang,” katanya.

Tambah Fairuz, beliau juga akan memberikan sumbangan berupa komputer riba untuk kegunaan semua pelajar dari kawasannya yang bakal melanjutkan pelajaran dalam masa terdekat.

“InsyaAllah, jika semua berjalan lancar, minggu hadapan, kita akan berikan adik-adik semua komputer riba untuk kegunaan bagi menyiapkan tugasan di kampus, belajar dan untuk dimanfaatkan sebaiknya.

“Saya harap dengan serba sedikit sumbangan dari saya ini, ia mampu memberi sinar kegembiraan dan semangat kepada adik-adik semua, belajar rajin-rajin, ingat ibu ayah dan insyaAllah, adik-adik pasti berjaya kelak,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|