Pemergian Lajim kehilangan besar kepada rakyat Beaufort

Pemergian Lajim kehilangan besar kepada rakyat Beaufort

Kota Kinabalu: Pemergian Datuk Seri Lajim Ukin yang meninggal dunia akibat Covid-19 pagi tadi disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat Sabah, khususnya di daerah Beaufort.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata berita pemergian Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu juga sangat mengejutkan beliau sebagai sahabat rapatnya.

Katanya, beliau dan Lajim pernah bersama dalam barisan kepemimpinan tertinggi Persatuan Belia Kebangsaan Sabah (SANYA) satu ketika dulu.

“Allahyarham adalah sahabat rapat saya yang pernah bersama dalam kepemimpinan persatuan dan UMNO sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT).

“Pemergian beliau hari ini menyebabkan saya kehilangan seorang sahabat yang baik. Saya bersama keluarga dan kepemimpinan UMNO Sabah merakamkan ucapan takziah kepada Datin Seri Normilah Siong serta seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Sesungguhnya Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Beaufort sepanjang khidmat beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias dan Ahli Parlimen Beaufort,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata sumbangan Lajim dalam pembangunan di negeri ini juga tidak boleh dinafikan.

Jelasnya, Lajim banyak menyumbang kepada pembangunan Sabah ketika menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah, selain memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri; Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri; Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Kita mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hambaNya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga,” katanya.

Lajim, 66, menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.23 pagi tadi di Hospital KPJ setelah dirawat lebih dua minggu di hospital berkenaan akibat jangkitan Covid-19.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

Jenazah Lajim sudah dibawa balik ke kampung halaman di Kampung Kebatu, Beaufort untuk dikebumikan, hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|