Jenazah Lajim selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Kampung Kebatu, Beaufort

Jenazah Lajim selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Kampung Kebatu, Beaufort

Kota Kinabalu: Jenazah Datuk Seri Lajim Ukin yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pagi ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kebatu, Beaufort pada jam 1.50 tengah hari tadi.

Kematian Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu di Hospital KPJ Sabah, di sini, pada jam 6.23 pagi tadi disahkan isterinya, Datin Seri Normilah Siong.

Lajim, 66, dirawat di hopital berkenaan sejak 13 Ogos lalu selepas disahkan positif Covid-19 sejurus mendapatkan rawatan berikutan mengadu kurang sihat sehari sebelum itu.

Beliau sebelum itu dilaporkan menyertai lawatan kerja kerajaan negeri di Kudat yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Lajim meninggalkan seorang balu, Datin Seri Normilah Siong dan tujuh anak.

Sepanjang hayatnya, Lajim pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah (1999-2004), Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri (1995-1999).

Ketika itu, Lajim menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias yang disandangnya sejak 1986 hingga 2008 sebelum berpindah ke kerusi Parlimen Beaufort (2008-2013) dan kembali menjadi ADUN Klias dari 2013 hingga 2018).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan (2008-2009) dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2009-2012).

Lajim memulakan kerjaya politik selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1985 dan kekal dalam parti itu sehingga 1994.

Pada 1994, Lajim bersama beberapa pemimpin PBS yang lain, antaranya ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang menyertai UMNO untuk mengembalikan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

Ketika bersama UMNO, Lajim pernah menjadi Ketua UMNO Beaufort dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO sebelum mengumumkan keluar daripada parti itu pada 2012.

Beliau kemudian bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bertanding atas tiket PKR di kerusi DUN Klias dan Parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

Lajim bagaimanapun tewas di tangan Datuk Azizah Mohd Dun di kerusi Parlimen Beaufort, namun berjaya mempertahankan kerusi DUN Klias selepas menewaskan calon BN, Datuk Isnin Aliasnih.

Selepas itu, Lajim dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Sabah sebelum sekali lagi membuat keputusan keluar daripada PKR dan menubuhkan parti baharu, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) pada 2016.

Percubaan pertama Harapan Rakyat diketuai Lajim menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 bagaimanapun gagal memenangi sebarang kerusi dan beliau sendiri tewas di kerusi DUN Klias serta Parlimen Beaufort.

Berikutan itu, Lajim membuat keputusan untuk membubarkan Harapan Rakyat dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada awal 2019.

Selepas menyertai BERSATU, Lajim dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu selain Pengarah Strategik dan Pilihan Raya BERSATU Sabah hingga ke hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|