Pemandu maut, isteri dan anak selamat kereta terbabas sendiri

Pemandu maut, isteri dan anak selamat kereta terbabas sendiri

Beaufort: Seorang pemandu pacuan empat roda maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Kampung Poring, Membakut, di sini, semalam.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 4.30 petang itu, isteri dan seorang lagi anak mangsa berusia 25 dan 44 tahun yang turut berada di dalam kenderaan terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pemandu yang maut dikenali sebagai Ambros Sinting, berusia 48 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa memandu pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser dalam perjalanan dari Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, menuju ke pekan Membakut.

“Apabila sampai dilokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan dan terbalik.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia oleh petugas Klinik Kesihatan Membakut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, setakat ini tiada unsur-unsur khianat atau jenayah yang ditemui dalam kes ini dan mangsa juga tidak disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Beaufort dan proses bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperolehi.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|