Kota Belud: Seorang pemandu lori dan kelindannya maut dalam kemalangan membabitkan lori dengan dua kenderaan lain, di Jalan Kota Belud-Tuaran berhampiran Bukit Kelawat, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Lee Chee Fui, 51, dan Jonathan Lee Jun Liong, 17, manakala seorang lagi kelindannya yang berusia 27 tahun pula mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mangsa bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kota Marudu dengan membawa barangan runcit.
Bagaimanapun katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terus merempuh belakang sebuah pacuan empat roda.
Keadaan dua kenderaan yang turut terbabit kemalangan yang mengorbankan pemandu dan kelindan lori.
“Akibat daripada kejadian itu, lori yang dipandu mangsa terlanggar tembok konkrit pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Manakala pacuan empat roda dan sebuah lagi kereta Proton Wira turut terbabas namun hanya membabitkan kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tembok konkrit pembahagi jalan turut rosak akibat kemalangan berkenaan.
Sahimi berkata, seorang lagi kelindan yang parah dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya, pemandu dan penumpang dua lagi kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Semua pemandu yang terbabit dalam kemalangan ini tidak disyaki mabuk namun sampel darah akan diambil bagi tujuan toksikologi.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
-Deasoka