Dua beranak disambar petir ketika menangkap ikan

Dua beranak disambar petir ketika menangkap ikan

Kota Kinabalu: Operasi mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang selepas dipanah petir ketika memancing ikan di perairan Pulau Dinawan, Kinarut, di sini, petang semalam, diperluaskan sehingga 50 batu nautika.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, operasi Carilamat sudah diaktifkan sejak jam 8 malam tadi.

Katanya, siasatan awal, mangsa Mohd Nasir Abdul Nasir, 62 dan anaknya Abdullah Mohd Nasir, 20, dilaporkan keluar ke laut bersama dengan menaiki bot pam berasingan.

“Kedua-dua mangsa disyaki disambar petir ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada jam 4 petang.

Berikut video yang dirakam oleh nelayan tempatan yang ada di lokasi kejadian semalam.

“Bagaimanapun, nelayan tempatan yang berada di lokasi hanya menemui mayat Abdullah dan terus dibawa ke Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Rosli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Papar pada jam 7 petang, semalam.

Katanya, usaha mengesan mangsa kedua sedang giat dijalankan dengan dibantu pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Operasi CARILAMAT mangsa masuk hari kedua dengan keluasan pencarian 50 batu nautika persegi dan setakat ini masih belum menemui tanda atau petunjuk positif berkaitan mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, komuniti maritim dinasihatkan supaya terus meningkatkan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut termasuk peka dengan keadaan cuaca semasa.

Selain itu katanya, komuniti maritim juga dinasihatkan supaya memakai jaket keselamatan, pastikan keadaan bot dalam keadaan baik dan membawa alat pengesan lokasi (PLB) serta maklumkan kepada keluarga atau sahabat lokasi dituju bagi memudahkan pencarian sekiranya perlu.

“Maritim Malaysia mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan, aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku dipersekitaran perairan Kota Kinabalu ditalian Pusat Operasi MN Sabah 088-387774 atau 999 (MERS),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|