PN minta Ismail Sabri pertahan kerajaan berintegriti sebagai syarat jadi PM

PN minta Ismail Sabri pertahan kerajaan berintegriti sebagai syarat jadi PM

Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) meletakkan syarat kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta beliau mempertahankan kerajaan berintegriti yang menjadi prinsip PN sebagai asas sokongan untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan jika Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, beliau perlu memastikan jemaah menteri yang bakal dilantik nanti terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

“Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyuddin yang kini memegang tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Caretaker, berkata beliau juga akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selaku kedudukannya sebagai Pengerusi PN.

Katanya, PN mengambil pendirian sebulat suara bersetuju mencalonkan bekas Ismail Sabri yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai calon Perdana Menteri kerajaan PN yang baharu.

Beliau berkata semua 50 Ahli Parlimen parti gabungan PN, iaitu 31 daripada BERSATU, PAS (18) dan seorang mewakili Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyerahkan akuan Bersumpah (SD) ke Istana Negara, menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri, selain empat Ahli Parlimen bebas Pro-PN, semalam.

“Saya juga telah berunding dengan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Keputusan ini juga bermakna PN ebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa. Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|