Amaran tegas kepada mereka yang gagal jalankan tanggungjawab – Hajiji

Amaran tegas kepada mereka yang gagal jalankan tanggungjawab – Hajiji

Kota Kinabalu: Semua ketua jabatan dan agensi berkaitan akan dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek pembangunan yang sudah diwartakan kepada rakyat Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mereka tidak lagi boleh memberi alasan tidak dapat menjalankan tugas hanya kerana perlu bekerja dari rumah disebabkan Covid-19.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan permohonan dan memberikan peruntukannya, namun projek-projek itu sehingga kini ada yang tidak dapat dilaksanakan.

“Saya tidak mahu perkara ini berlaku semasa pentadbiran saya.

“Tempoh masa perlu ditetapkan untuk pelaksanaan semua projek pembangunan yang dibiayai kerajaan persekutuan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPng) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Pegawai Pembangunan Negeri Sabah, Noor Alam Khan Wahid Khan.

Hajiji berkata, pelbagai projek yang diluluskan kerajaan Persekutuan untuk Sabah masih di peringkat pra-pelaksanaan hampir pada suku terakhir tahun ini.

“Sekarang sudah bulan Ogos, bagaimana kita dapat menyelesaikan projek-projek ini?

“Sekiranya saya mendapati ada yang menyumbang kepada kelewatan itu, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.

Hajiji berkata, tidak dinafikan, pelaksanaan projek pembangunan tahun ini agak lambat selepas berlakunya pandemik Covid-19.

Namun katanya, beliau juga berharap rancangan kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula projek pembangunan yang diluluskan tetapi belum dilancarkan tidak akan memberi kesan besar kepada Sabah.

“Perkara ini tidak patut berlarutan, sementara masalah lain tetap tidak dapat diselesaikan seperti masalah perkhidmatan, jalan raya dan infrastruktur.

“Kita mesti bertindak sebagai satu pasukan dan melihat keperluan masyarakat secara menyeluruh. Contohnya, sekolah yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

“Segala-galanya mesti dirancang dengan cara yang paling tepat untuk memastikan perkhidmatan penyampaian yang lancar kepada rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, adalah menjadi keutamaan semua untuk memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan kerana peratusan golongan miskin dan miskin tegar masih tinggi di negeri ini.

Katanya, sekarang adalah masa untuk eratkan kerjasama dan mengkaji serta meningkatkan semula peraturan yang sudah lapuk dan tidak releven, sesuai dengan peredaran masa.

“Saya minta semua agensi kerajaan memanfaatkan kepesatan teknologi dalam melonjakkan penyampaian perkhidmatan bagi memastikan ia menjadi pemudahcara khususnya kepada sektor swasta yang juga penggerak utama ekonomi negara,” katanya.

Untuk rekod, bagi prestasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) negeri Sabah setakat 8 Ogos tahun ini, sejumlah RM1.459 bilion atau 32.31 peratus daripada RM4.517 bilion yang diluluskan dibelanjakan di bawah Pelan Pusingan Pertama RMKe-12.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|