Covid-19 Sabah: Kes kekal tinggi disebabkan kes tertunggak

Covid-19 Sabah: Kes kekal tinggi disebabkan kes tertunggak

Kota Kinabalu: Kes baharu Covid-19 di Sabah terus menunjukkan kadar jangkitan yang tinggi dengan 2,583 kes lagi dilaporkan hari ini, berbanding 2,413 kes yang direkodkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah kes harian di Sabah dijangka kekal tinggi untuk tempoh beberapa hari lagi berikutan kewujudan kes tertunggak.

“Sepertimana yang dimaklumkan semalam, jumlah kes harian akan kekal tinggi untuk beberapa hari sehingga Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengosongkan semua keputusan kes yang tertunggak.

“Kes-kes ini adalah yang didaftar lewat yang mana keputusan kes positif didaftar melebihi lima hari setelah keputusan saringan diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi hari ini saja katanya, sebanyak 289 kes (11.2 peratus) daripada 2,583 kes baharu yang direkodkan adalah kes yang didaftar lewat termasuk 188 kes di daerah Kota Kinabalu, Penampang (58) dan Putatan (40).

Sementara itu, katanya kes baharu di Kota Kinabalu menunjukkan penurunan 119 kes hari ini tetapi kekal sebagai daerah dengan kes tertinggi di Sabah, iaitu 475 kes.

“Penampang pula mencatatkan 302 kes baharu, penambahan 125 kes berbanding kelmarin, Tawau 240 (-108), Sandakan 170 (+20), Tuaran 163 (-13), Sipitang 136 (+54), Keningau 125 (-28), Lahad Datu 121 (-4), Papar 118 (+43), Putatan 114 (+72), Beluran 71 (+48), Kota Belud 69 (-12), Kota Marudu 59 (+31), Kunak 50 (+30) dan Tenom 48 (-34),” katanya.

Masidi berkata, saringan kontak rapat juga kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keseluruhan kes di Sabah hari ini iaitu sebanyak 1,503 (58.2 peratus), diikuti saringan bergejala 686 kes (26.6 peratus) dan 123 kes (4.8 peratus) lagi dikesan melalui kluster sedia ada. *

“Sebanyak 37 kes hari ini juga dikenal pasti melibatkan mereka yang berada dalam tahanan (OKT).

“Kategori 2 pesakit kekal kumpulan terbesar dengan 1,449 orang (56.1 peratus), diikuti kategori 1, seramai 1,045 orang (40.5 peratus), kategori 3 seramai 22 orang, kategori 4 seramai tiga orang dan kategori 5 seramai lima orang,” katanya.

Menganai vaksinasi, setakat semalam katanya, JKNS mencatat satu rekod baharu berjaya dicapai dalam keupayaan memberi vaksin apabila merekodkan sebanyak 62,365 dos sehari.

“Setakat semalam, 48.4 peratus penduduk dewasa negeri Sabah telahpun memperolehi satu dos vaksin dan 25.8 peratus penduduk melengkapkan dua dos,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|